VOGUE mampu ubah persepsi Puteri UMNO
Posted by Admin on 2 August 2010 | 0 Comments
SHAH ALAM: Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin skuad sukarelawan ‘Voluntary Group For Everyone’ (VOGUE) yang diperkenalkan Puteri UMNO untuk menarik golongan muda dapat menterjemahkan hasrat UMNO untuk membantu masyarakat melangkaui batas agama dan bangsa.
Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha Puteri UMNO menyediakan program amal menerusi VOGUE secara lebih sistematik, patut digalakkan dan mendapat sokongan daripada pemimpin parti pada peringkat bahagian dan cawangan.
Malah, katanya, dengan pendekatan serta usaha kreatif pemimpin sayap pergerakan Umno itu mewujudkan VOGUE, beliau yakin ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada segenap lapisan masyarakat dan ia perlu berterusan.
"Dengan program sebegini hebat yang kita mulakan hari ini (semalam) bermakna bahawa pimpinan muda UMNO dan Puteri tidak hanya terbabit secara aktif dalam pergerakan politik, tetapi pergerakan politik itu diterjemahkan dalam bentuk kerja kebajikan dan amal yang akan dapat mengubah persepsi masyarakat mengenai UMNO itu sendiri.
"Mungkin ada pihak tertentu yang menganggap UMNO satu pertubuhan politik yang sudah tidak bermaya dan kurang inovasi dalam segala tindakan dan program sehingga ada pihak yang tidak bersedia bersama kita.
"Terbukti jelas kita tidak ketandusan idea, kita bersedia untuk mengorak satu langkah yang baru, untuk sama-sama sehaluan dengan pimpinan negara kita yang bersedia untuk melihat apa yang kita lakukan itu bukan saja bermanfaat, tetapi juga menarik penyertaan masyarakat," katanya ketika melancarkan VOGUE di hadapan lebih 4,000 ahli VOGUE di tapak padang kawad, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, semalam.
Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, program itu pasti bukan dibuat untuk musim tertentu seperti pemilihan parti atau musim istimewa kerana kerja kebajikan dituntut oleh agama.
Katanya, ia adalah antara usaha parti dalam membantu kerajaan membela masyarakat yang berbilang agama, bangsa dan keturunan.
"Apa yang dilakukan Puteri UMNO ini dituntut masyarakat kita kerana ia masih perlukan bantuan dan bimbingan, apatah lagi ia dilakukan oleh warga Puteri yang terdiri daripada remaja yang cerah, ceria dan cantik, pasti akan dapat menarik penyertaan masyarakat untuk menggerakkan program amal secara besar-besaran di seluruh negara.
"Saya yakin dengan inisiatif ini, kita tidak akan mengambil masa lama untuk mengubah persepsi masyarakat mengenai apa itu UMNO dan BN (Barisan Nasional).
"Masyarakat pasti sedang menunggu apakah yang akan kita lakukan untuk membawa kesan yang lebih baik. Mereka menunggu apakah inisiatif baru yang hendak kita pelopori untuk membawa perubahan kepada masa depan mereka," katanya.
Rosnah pula berkata, VOGUE yang dilancarkan itu bukan konsep atau aktiviti baru Puteri UMNO, tetapi ia satu idea untuk menjenamakan semula Biro Sukarelawan serta memberi imej lebih segar kepada konsep kesukarelawan di kalangan generasi muda.
Katanya, VOGUE dijangka dapat memberi tarikan yang baik kepada orang ramai mengenai bentuk dan aktiviti sukarela yang bukan saja menarik, menyeronokkan dan terkini, tetapi sarat dengan program pengajaran, kemahiran dan kenegaraan.
Sumber dari : bharian.com.my