“UMNO – PAS”
Posted by Admin on 15 July 2010 | 0 Comments
KENYATAAN Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung kesediaan UMNO-Pas untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang termasuk memperkukuhkan Islam serta kedudukan orang Melayu menjadi titik tolak penyatuan antara kedua-dua parti yang menaungi orang Melayu dan umat Islam di negara ini.
Puteri UMNO percaya, sudah tiba masanya kedua-dua parti berfikir secara positif dan mengambil setiap peluang serta ruang yang ada untuk menjalin kerjasama demi memelihara kedudukan Islam dan umatnya yang agak tergugat mutakhir ini terutamanya dalam isu-su gejala sosial.
Apa pun platformnya baik Islam mahu bangsa Melayu, adalah malang jika kerjasama seumpama itu ditolak atau dilengah-lengahkan lantaran cabaran serta masa depan orang Islam di negara ini makin serius, jika tidak ditangani segera akan memberi kesan jangka panjang yang akhirnya akan dikesali oleh semua pihak.
Puteri UMNO sangat berharap, kerjasama antara UMNO dan Pas dapat dimulakan secepat mungkin, supaya kedua-dua pihak dilihat benar-benar serius untuk bersatu demi kepentingan agama, negara dan bangsa. Telah acapkali perihal kerjasama antara kedua-dua parti dibincangkan termasuk ke peringkat penubuhan kerajaan perpaduan namun ada saja halangan yang akhirnya membatalkan hasrat tersebut.
Puteri UMNO juga percaya inilah masanya untuk barisan pemimpin kedua-dua parti mengetepikan perbezaan ideologi politik dan `luka-luka' lama yang selama ini menjadi penghalang kepada UMNO-Pas untuk menjalin kerjasama. Bagi generasi muda, kesediaan kedua-dua pemimpin harus dilihat sebagai pembuka jalan untuk mereka memupuk kerjasama dalam menangani isu-isu sosial yang semakin parah sekarang ini.
Pastinya, generasi muda akan bersikap lebih terbuka dan belajar untuk menjadi matang dalam berpolitik dengan mengetepikan politik kebencian, hasad dengki dan saling berdendam supaya kerjasama yang sememangnya menjadi impian semua pihak ini menjadi kenyataan.