Ucapan Najib membakar semangat ahli UMNO
Posted by ADMIN on 29 May 2012 | 0 Comments
KUALA LUMPUR: Ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak malam tadi di depan lebih 100,000 ahli UMNO dianggap sebagai bekalan dan peringatan penting kepada ahli parti itu sebelum pilihan raya umum ke-13.
Masing-masing menganggap ucapan Presiden UMNO itu sebagai pembakar semangat untuk semua ahli UMNO berjuang habis-habisan untuk merealisasikan isi perjuangan parti itu.Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata ucapan itu mesti difahami dan diterjemahkan dalam bentuk tenaga dalam memastikan UMNO terus relevan dan kekal dalam perjuangannya."Seperti apa yang dikatakan oleh Presiden kita mesti bersiap siaga dalam menghadapi pilihan raya akan datang, UMNO adalah parti yang amat berjasa kepada rakyat dan ia perlu kekal," katanya selepas perhimpunan ulang tahun ke-66 UMNO di Stadium Bukit Jalil di sini, malam tadi.Shafie berkata, perhimpunan itu memberi gambaran bahawa ahli parti sudah bersedia berjuang untuk mengembalikan kegemilangan sebagai parti Melayu terunggul.Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berharap supaya semua ahli UMNO memberi komitmen yang penuh untuk melaksanakan apa yang diucapkan oleh presiden parti."Apa yang disampaikan oleh presiden terbukti bukan sekadar retorik, kita harus bekerja dengan lebih keras lagi," katanya. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pula menyifatkan ucapan Najib penuh dengan semangat dan jelas menunjukkan bahawa perpaduan bangsa Melayu semakin kukuh.Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, pula mengingatkan semua ahli parti khususnya Puteri UMNO supaya menghayati amanat daripada presiden parti supaya bekerja keras bagi memastikan kemenangan berpihak kepada UMNO pada pilihan raya akan datang. - BERNAMA