Pengumuman 


Tiga saintis AS menang Hadiah Nobel Perubatan 2009

Posted by Admin on | 0 Comments

Tags:

STOCKHOLM 5 Okt. - Tiga saintis Amerika Syarikat (AS), Elizabeth Blackburn, Carol Greider dan Jack Szostak hari ini diumumkan sebagai pemenang Hadiah Nobel 2009 dalam bidang perubatan kerana penyelidikan yang membawa implikasi bagi kajian tentang kanser dan proses penuaan.

Mereka bertiga menyelesaikan satu masalah besar dalam bidang biologi, iaitu bagaimana kromosom boleh 'disalin dengan lengkap semasa pembahagian sel dan bagaimana kromosom dilindungi daripada mengalami degradasi', menurut Institut Karolinska di Sweden dalam kenyataannya.

Ketiga-tiga pemenang tersebut menunjukkan penyelesaian masalah berkenaan ditemui pada hujung kromosom dikenali sebagai telomere dan pada enzim yang membentuknya.

Telomere sering kali diibaratkan sebagai plastik di hujung tali kasut yang mencegah tali itu daripada terurai.

"Penemuan oleh Blackburn, Greider dan Szostak menambah dimensi baru dalam kefahaman kita tentang sel, mendedahkan mekanisme penyakit, dan merangsang pembangunan terapi baru," menurut jawatankuasa Hadiah Nobel dalam kenyataannya itu.

Blackburn yang memiliki kerakyatan AS dan Australia ialah profesor biologi dan fisiologi di Universiti California, San Francisco.

Greider ialah profesor di jabatan biologi molekul dan genetik di Sekolah Perubatan Universiti Johns Hopkins, Baltimore.

Szostak yang berasal dari London berkhidmat di Sekolah Perubatan Harvard sejak 1979 dan kini menjadi profesor genetik di Hospital Besar Massachusetts, Boston.

Anugerah yang diumumkan hari ini meliputi hadiah wang tunai berjumlah 10 juta kronor (RM4.9 juta), sijil dan jemputan ke majlis penyampaian hadiah di sini pada 10 Disember ini. - AP


Pautan   Pautan Khas Suapan Berita Pautan Sosial