Kempen ‘Life is Precious’ – Sayangi Diri Dan Keluarga
Posted by Admin on 5 April 2010 | 0 Comments
Hasil perbincangan bersama antara Pergerakan Puteri UMNO bersama dengan Puteri, Beliawanis dan wanita muda parti-parti komponen Barisan Nasional (BN), kempen ‘Life is Precious’ telah berjaya dilancarkan bagi bersama-sama membanteras fenomena kebejatan sosial terutamanya kes pembuangan bayi dan eksploitasi ke atas kanak-kanak yang semakin menjadi-jadi.
“Kempen ini menekankan aspek kasih sayang dan diharapkan dapat memberi kesedaran dan mendidik masyarakat supaya menghargai anugerah yang diberi serta menyayangi diri sendiri dan keluarga terutama kanak-kanak,” ujar Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Ketua Puteri UMNO Malaysia, ketika sidang media selepas pelancaran kempen tersebut di Hospital Kuala Lumpur, di sini.
Turut hadir ke majlis tersebut adalah Saudari Shahanim Mohd Yusof, Naib Ketua Puteri UMNO Malaysia, ketua beliawanis, puteri dan wanita muda parti-parti komponen BN, Exco-exco Puteri UMNO Malaysia serta pengurusan tertinggi hospital.
“Kempen yang bertemakan 1 Malaysia, 1 Jiwa 1 Cinta ini diharap mampu mewujudkan masyarakat yang harmoni, aman damai dan penuh dengan nilai kasih sayang sekiranya dapat sokongan padu dari semua pihak,” tambahnya lagi.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan itu lagi, kempen tersebut akan dilancarkan di negeri-negeri dan juga bahagian-bahagian mengikut kesesuaian pendekatan.
“Ada beberapa corak kempen kesedaran seperti pengedaran risalah, seminar yang melibatkan pakar kanak-kanak, di samping penglibatan dari pihak berkuasa mengenai hal yang berkaitan perundangan,” ujar beliau lagi.
Di samping itu, tambah beliau lagi, kita seharusnya mengimbangi perkara terbabit kerana pelaku-pelaku berkemungkinan tidak tahu ataupun terdesak kerana sebenarnya masih ada tempat yang sepatutnya dirujuk.
“Kita mewar-warkan (kes-kes) bukan kerana untuk menggalakkan lagi perlakuan sebegitu (masalah sosial) tetapi sebenarnya ia sebagai satu inisiatif kepada masyarakat bahawa masih ada tempat-tempat yang perlu dirujuk sama ada dilindungi mahupun diberi perhatian,” katanya lagi.
Menurutnya lagi, usahasama bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai perbincangan perkara yang berkaitan sedang giat dijalankan.
“Puteri akan menerbitkan buku yang diharap mampu memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai gejala keruntuhan akhlak terutama gejala buang bayi, sumbang mahram dan juga segala bentuk ekspoiltasi kepada kanak-kanak,” tambahnya lagi.
Sebagai golongan muda, Puteri akan bersama-sama dengan pemimpin muda parti-parti komponen BN akan menggerakkan jentera dengan menumpukan kepada golongan belia dan beliawanis, mahasiswa dan mahasiswi dan juga ibu bapa muda.
Bagi menyemarakkan lagi kempen tersebut, terdapat juga beberapa pertandingan yang akan berlangsung selama sebulan bermula 5 April hingga 5 Mei 2010, terbuka kepada umum, seperti berikut:
1. Pertandingan fotografi berserta slogan kreatif.
2. Pertandingan video pendek berserta karangan pendek (50 patah perkataan).