Skuad CSI dan Kembara Daftar Pemilih Puteri – Gunakan Media Baru
Posted by Admin on 5 April 2010 | 3 Comments
BANGI, 3 April – Pergerakan Puteri disaran agar mempergiatkan lagi usaha menarik ahli-ahli baru dan juga pengundi baru dengan menggunakan media baru seperti khidmat pesanan ringkas (SMS), laman sosial Twitter dan Facebook, ujar Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Keahlian dan Daftar Pemilih serta pelancaran Skuad CSI (Cari Seramai Ahli) dan Kembara Daftar Pemilih, Puteri UMNO di sini.
“Kempen-kempen juga boleh diperluaskan, bukan sahaja tertumpu kepada program-program anjuran sendiri, malahan di kawasan kilang, kompleks beli-belah dan bank,” tambah beliau, yang juga merupakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Turut hadir sama di program tersebut adalah Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Ketua Puteri UMNO, Saudari Shahanim Mohd Yusof, Naib Ketua, Exco-exco Puteri dan juga Datuk Dr. Adham Baba, Ketua Sekretariat Biro Keahlian UMNO Malaysia.
“Pertambahan ahli parti mencerminkan kesinambungan parti untuk masa hadapan,” ujar beliau.
Sebelum pelancaran, program yang dianjurkan oleh Biro Keahlian dan Daftar Pemilih, yang diketuai oleh Saudari Rina Mohd Harun dan Saudari Isfarina telah mengadakan seminar yang mendapat sambutan amat menggalakkan daripada Pengerusi biro di setiap Negeri dan Bahagian-bahagian dengan beberapa sesi ilmu yang dilihat mampu memberi input yang cukup baik kepada jentera-jentera parti itu.