SUNGAI PETANI 16 April - Sikap tidak ikhlas sesama pemimpin pakatan pembangkang di Kedah menjadi punca ramai ahli termasuk wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) meninggalkan parti itu kebelakangan ini.
Naib Ketua Puteri UMNO, Shahanim Mohd. Yusof berkata, tindakan itu juga didorong oleh rasa tidak puas hati dengan kegagalan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, menunaikan tanggungjawab kepada rakyat.
Katanya, kalangan pemimpin pakatan pembangkang nampaknya bersikap pentingkan diri sendiri.
Menurut beliau, mereka juga sanggup pijak-memijak dan memburukkan sesama wakil rakyat demi kedudukan.
"Lebih malang, wakil rakyat yang melaksanakan tugas dengan baik tidak diberikan sokongan. Maka tidak hairanlah apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Mohd. Radzhi Salleh dan ADUN Bakar Arang, Tan Wei Shu keluar PKR.
"Mereka lebih mengetahui bahawa jika terus berada di situ, tanggungjawab terhadap rakyat akan terus terabai dan janji tidak dilaksanakan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Wei Shu keluar PKR berkuat kuasa serta-merta semalam.
Wei Shu berkata, keputusan keluar parti itu disebabkan tidak puas hati dipermainkan oleh pemimpin parti yang beliau sifatkan sebagai 'kacang lupakan kulit' kerana mempergunakannya untuk kepentingan tertentu.
Shahanim yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Sungai Petani berkata, sebagai penduduk dalam kawasan Bakar Arang, Wei Shu memang diakui menjalankan tugas dengan berkesan dan sering dilihat turun padang.
Bagaimanapun, katanya, usaha itu dipandang remeh oleh kalangan pemimpin pakatan pembangkang sendiri.
"Daripada maklumat yang kami peroleh, Wei Shu juga terkenal sebagai seorang wakil rakyat yang lantang ketika menjadi Exco.
"Beliau akan membantah jika sesuatu perkara itu nyata tidak boleh ditunai atau dilaksanakan oleh kerajaan negeri.
"Sikap sebegitu kurang disenangi oleh pemimpin termasuk Menteri Besar sendiri. Selepas itu timbullah cerita dan tuduhan yang mengatakan beliau tidak layak dan sebagainya," jelasnya.
Shahanim menambah, kerajaan pakatan pembangkang di Kedah juga dilihat tidak mampu menguruskan negeri dengan baik sehingga menyebabkan ramai kalangan wakil rakyat menjadi 'malu alah' apabila pengundi menuntut janji-janji yang dibuat sewaktu kempen.
Dalam pada itu, Shahanim berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sungai Petani bersedia membantu Wei Shu sekiranya beliau memberikan sokongan kepada pihaknya.
Katanya, ini kerana UMNO dan BN mempunyai kemampuan membantu rakyat setiap masa berbanding kerajaan negeri sendiri.
Sumber dari Utusan Malaysia Online