Puteri Umno Kerja Keras Pastikan BN Kekal Memerintah - Rosnah Shirlin
Posted by admin on 14 May 2012 | 0 Comments
KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Pergerakan Puteri Umno terus berusaha gigih dengan menyebarluaskan khidmatnya kepada rakyat dalam usaha membantu Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya umum akan datang untuk kekal memerintah negara.
Ketuanya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata walaupun Puteri Umno masih "muda" dalam dunia politik, namun peranannya sama penting dengan pergerakan lain parti itu dalam memperkasakan Umno.
"Memang benar kita tiada semasa Umno di awal penubuhannya dan semasa ia berjuang memerdekakan negara, tetapi kelahiran Puteri Umno dalam era 'millennium' telah membantu parti terutamanya dalam menarik golongan muda.
"Sempena ulang tahun Umno ke-66, saya berharap semua ahli Puteri akan sentiasa komited memastikan Umno terus di hati rakyat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan konvoi Sambutan Hari Jururawat, Ibu dan Guru anjuran Puteri UMNO sempena ulang tahun parti itu di sini, pada Jumaat.
Puteri Umno dilancarkan pada 3 Ogos 2001 oleh Presiden Umno ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
-- BERNAMA