Puteri Umno Diminta Sedia Pikul Tugas Berat Hadapi Perang Politik PRU 13
Posted by admin on 16 May 2012 | 0 Comments
PAPAR, 13 Mei (Bernama) -- Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin mahu anggota pergerakan itu bersedia memikul tugas berat sebagai benteng barisan hadapan bagi menghadapi 'perang politik' yang cukup mencabar menjelang pilihan raya umum ke-13.
Beliau berkata Puteri Umno harus berani, tabah, sabar dan cekal dalam berjuang serta memikul tanggungjawab yang diamanahkan itu.
"Saya mendoakan agar segala perancangan dan persiapan yang akan kita laksanakan untuk berhadapan dengan PRU 13 akan berjalan dengan baik dan lancar.
"PRU 13 menuntut pengorbanan kita. Inilah peperangan yang harus kita menangi. Ia bukan sekadar mempertahankan maruah kita tetapi melibatkan persoalan masa depan generasi akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis santai Puteri Umno Papar sempena pelancaran jentera pilihan raya Puteri Umno bahagian Parlimen Papar dan persidangan cawangan Puteri Umno dalam bahagian itu, di sini.
Rosnah berkata keanggotaan Puteri Umno kini mencecah 384,000 orang, termasuk 54,000 anggota di Sabah.