Puteri UMNO Bantu Haslinda
Posted by Othman Yahaya on 10 September 2009 | 0 Comments

PENDANG 9 Sept. - Selepas melahirkan anak keempatnya dua bulan lepas, malang menimpa Haslinda Salleh, 32, apabila kakinya semakin mengecil. Penderitaan suri rumah dari Kampung Pokok Tai, Bukit Jenun itu semakin berat apabila dia turut disahkan menghidap barah kelenjar. Haslinda yang sebelum ini aktif sebagai ahli Puteri UMNO Bahagian Pendang kini hanya terlantar di atas katil dan tidak lagi bebas bergerak seperti dahulu. Dia kini hanya mengharapkan bantuan suami, Mohd. Fadzli Abdul Kadir, 33, yang bekerja sebagai pembantu jualan di Pasar Bukit Jenun untuk menguruskan dirinya serta anak-anak. Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin turut mendermakan sebuah kerusi roda kepada Haslinda. Puteri UMNO Kedah pula memberikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian. Sumbangan kerusi roda dan barangan keperluan itu diserahkan oleh Ketua Puteri UMNO Kedah, Norhashimah Mohd. Nowar semasa melawat suri rumah itu di rumahnya di sini baru-baru ini. Norhashimah ketika ditemui selepas itu berkata, pihaknya tampil membantu Haslinda selepas mengetahui nasib malang dialami suri rumah tersebut melalui salah seorang ahli pergerakan itu. "Kita sudah meneliti latar belakang keluarga terbabit dan mereka amat memerlukan bantuan. "Di samping menjalankan tanggungjawab membantu sesama insan, kita juga tidak akan mengabaikan keluarga ini agar mereka dapat menikmati kehidupan lebih baik," ujarnya. Turut mengiringi Norhashimah dalam lawatan itu ialah beberapa ahli Puteri UMNO Bahagian Pendang.