Pengumuman 


Puteri UMNO Bantah Pelajar Kahwin Awal

Posted by Admin on 4 August 2010 | 0 Comments

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Langkah kerajaan negeri Melaka menggalakkan ibu bapa membenarkan anak yang masih bersekolah untuk berkahwin bagi membendung gejala hamil luar nikah dilihat sebagai satu bentuk jalan penyelesaian singkat terhadap masalah berkenaan.

Malah, ahli politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan golongan kaunselor berpendapat perkahwinan pada usia muda bakal menambahkan lagi masalah kepada pelajar, keluarga mereka dan masyarakat.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abd. Rashid Shirlin berkata, beliau tidak bersetuju dengan langkah kerajaan negeri Melaka itu meskipun bermatlamat mencegah gejala hamil luar nikah.

Ini kerana, katanya, kebanyakan kes hamil luar nikah bukan melibatkan pasangan yang serius hendak berkahwin tetapi hanya untuk berseronok sehingga terlanjur.

"Puteri UMNO yakin gejala tidak bermoral itu hanya boleh diselesaikan menerusi 'akarnya' iaitu setiap ibu bapa menjalankan tanggungjawab mendidik anak-anak tentang dosa dan pahala," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang menggalakkan ibu bapa memberi kebenaran kepada anak-anak mereka berkahwin walaupun masih bersekolah bagi mengekang gejala hamil luar nikah.

Bagi tujuan tersebut, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bersetuju memberi kelonggaran bernikah kepada pelajar lelaki bawah umur 18 tahun dan bawah 16 tahun bagi pelajar perempuan.

Rosnah berkata, keputusan membenarkan mereka berkahwin pada usia muda bakal menimbulkan masalah lain termasuk meningkatkan jumlah penceraian.

Naib Presiden Hal Ehwal Wanita (HEWI) Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Nor Akmariah Abdullah berkata, perkahwinan sebagai jalan penyelesaian kepada gejala pelajar terlanjur boleh memberi kesan negatif kepada golongan muda.

"Asal terlanjur sahaja, ibu bapa bertindak menikahkan anak, tetapi masalah ini sebenarnya cuma dapat diselesaikan buat seketika sahaja," katanya.

Nor Akmariah berkata, sepatutnya ibu bapa mendidik anak-anak supaya mengelakkan diri daripada menjalin hubungan yang boleh mengundang kepada keterlanjuran.

Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Ivy Josiah pula berkata, walaupun undang-undang Islam Melaka membenarkan perkahwinan kepada golongan pelajar tetapi mengikut undang-undang sivil mereka masih dikategorikan sebagai kanak-kanak.

Katanya, pemikiran mereka masih keanak-anakan dan jika sudah terlanjur dan dipaksa berkahwin, maka ia menyebabkan mereka terpaksa membina rumahtangga pada usia yang tidak matang.

"Ibu bapa perlu mendidik anak-anak supaya tidak terlanjur yang merupakan langkah pencegahan terbaik terhadap masalah itu," katanya.

Bagi pensyarah kaunseling Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr. Sapora Sipon, perkahwinan pada usia muda penuh dengan cabaran.

"Perkahwinan tidak boleh dipandang remeh khususnya apabila berkahwin disebabkan terlanjur," katanya.

Sumber dari utusan.com.my


Post your comment

Comments

No one has commented on this page yet.

RSS feed for comments on this page | RSS feed for all comments

Pautan   Pautan Khas Suapan Berita Pautan Sosial