Puteri turun padang bantu mangsa banjir
Posted by on 24 November 2009 | 0 Comments
BALIK PULAU: Penderitaan kira-kira 70 mangsa banjir di beberapa kampung di sini, mendapat pembelaan Puteri Umno Pulau Pinang yang mengambil inisiatif turun padang untuk meringankan beban ditanggung mereka.
Pergerakan itu menghulurkan sumbangan beras yang disampaikan Ketua Puteri Umno Negeri, Nor Hafizah Othman dan Ketua Puteri Umno Balik Pulau, Mariana Ayob
Kira-kira 25 ahli pergerakan itu turut sama dengan beramah mesra bersama penduduk di tiga kampung iaitu Kampung Teluk Kumbar, Kampung Bukit Guruh serta Kampung Sulup, baru-baru ini.
Tiga kampung itu adalah antara kampung yang dilanda banjir kilat, minggu lalu berikutan hujan lebat berterusan selama beberapa hari.
Seorang penduduk, Norliza Morad, 37, bersyukur kerana ada pihak yang prihatin dengan nasib malang yang menimpa mereka.
Wanita itu berkata, kampungnya sering dilanda banjir setiap kali hujan lebat kerana sungai yang cetek.
"Masalah ini sudah berlarutan sejak sekian lama termasuk setiap kali Aidilfitri. Pada pagi raya lalu, kami terpaksa timba air yang masuk ke dalam rumah.
"Banjir pula kadangkala sehingga paras pinggang dan merosakkan perabot hingga kami menjadi bimbang setiap kali hujan," katanya.
Seorang lagi penduduk, Jamilah Pakir, 56, pula berkata dia kerugian kira-kira RM2,000 apabila perabot dalam rumahnya rosak akibat air yang hingga ruang tamu dan bilik.
"Diharap ada pihak sudi membantu menyelesaikan masalah ini supaya ia tidak terus berlarutan dan menghantui penduduk," katanya.
Sementara itu, Nor Hafizah berkata, pihaknya mengambil inisiatif turun padang ke kawasan dilanda banjir kerana ingin meringankan beban ditanggung penduduk terutama ketika umat Islam hendak menyambut Aidiladha.
"Kami cuba meringankan beban mereka dengan memberikan sumbangan yang tidak seberapa dengan harapan sambutan hari raya tidak akan terlalu terjejas akibat banjir.
"Kami bukan hanya memberi sumbangan tetapi juga semangat kepada mereka untuk menghadapi dugaan, selain mendengar keluhan mereka," katanya. Sumber : BH