KUALA LUMPUR 30 Jun - Pergerakan Puteri UMNO akan meningkatkan usaha dan melaksanakan pelbagai program untuk menarik golongan muda Melayu mendaftar sebagai pengundi sekali gus meningkatkan penyertaan mereka dalam UMNO, kata Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia.
"Adalah menjadi tanggungjawab semua bahagian dan cawangan Puteri UMNO untuk bekerja keras mendekati golongan muda menerusi pelaksanaan program-program yang bersesuaian dengan jiwa mereka.
Paling penting sekali, usaha menyedarkan golongan muda tentang betapa pentingnya mereka celik politik dan mendaftar sebagai pengundi akan dilakukan secara berterusan tanpa mengenal tempat dan masa", katanya.
Tambah beliau lagi, sebagai sayap parti yang mewakili usia muda, Puteri UMNO sememangnya sentiasa menggalas tanggungjawab tersebut kerana menyedari undi pengundi muda amat penting untuk menentukan kedudukan serta senario politik negara.
Ini kerana golongan muda menyumbang 40 peratus daripada keseluruhan pengundi di negara ini, dan jika kebanyakkan mereka (terutama orang Melayu) tidak berdaftar sebagai pengundi maka kesannya terhadap masa depan orang Melayu itu sendiri sememangnya amat membimbangkan.
Pada masa yang sama golongan muda Melayu yang mendaftar sebagai pengundi mesti dibimbing supaya mereka tidak terikut-ikut dengan rentak politik pembangkang yang kononnya memperjuangkan idealisme dan kebebasan.
Menurutnya lagi, kesedaran serta minat berpolitik di kalangan muda mesti terarah dan tersusun, bukannya secara semberono kerana trend sekarang menunjukkan golongan muda yang mendaftar sebagai pengundi tetapi tidak dibimbing arah politik mereka menjadi penentang kepada kerajaan dan tidak memberi sokongan kepada UMNO.
Justeru, dalam kesungguhan Puteri UMNO dan pelbagai pihak lain meningkatkan kesedaran golongan muda tentang politik dan menggalakkan mereka mendaftar sebagai pengundi, ada perkara lain yang mesti berjalan serentak. Ia termasuklah menanamkan rasa cinta dan sayang golongan muda terhadap UMNO sebagai parti yang memelihara hak-hak orang Melayu serta menjaga kesucian Islam, ujar Timbalan Menteri Kesihatan itu.
Puteri juga menggalakkan cadangan daripada semua golongan muda untuk aktiviti yang dirasakan sesuai bagi memangkin pengundi berkualiti dan berwibawa. Cadangan bolehlah dihantar ke email admin@puteriumno.my atau ke laman Facebook – Puteri Jiwa Rakyat.
Post your comment
Comments
perlu ada program untuk jangka masa panjang bukan bersifat sementara, dan pencapaian setiap bahagian puteri itu harus didedahkan...