KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menyeru golongan muda khususnya ahli-ahli pergerakannya agar menghayati erti kemerdekaan dan menghargai perjuangan tokoh-tokoh terdahulu.
Katanya, biarpun erti kemerdekaan kini berbeza penilaiannya dengan perjuangan pemimpin dahulu yang sanggup mengorbankan harta benda dan tenaga untuk mengusir penjajah namun ia perlu dilakukan dengan niat yang ikhlas dan betul.
“Perjuangan kita hari ini adalah lebih kepada aspek material dan matlamat untuk kemajuan, mengekalkan kesejahteraan dan pembangunan minda daripada terjajah dengan budaya-budaya songsang yang tidak sihat,” katanya ketika dihubungi umno-online.com.
Katanya, sebagai generasi muda tentunya tidak pernah merasai keperitan yang dilalui oleh para pemimpin dalam melakukan perjuangan untuk mengukir penjajah maka sewajarnya perlu menghargai setiap detik dan nikmat kesejahteraan.
“Datuk nenek kita dahulu sanggup meredah kesusahan, sanggup berlapar malah ada yang rela menggadaikan harta benda demi untuk mendapatkan perbelanjaan bagi membiayai perjuangan ke arah kemerdekaan,” terangnya.
Tambah beliau lagi, generasi muda adalah pewaris kepada negara bangsa yang dibina secara berterusan dari seorang pemimpin kepada pemimpin seterusnya, jadi adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk terus memastikan kelestariannya.
“Perjuangan kita hari ini adalah lebih kepada aspek material dan matlamat untuk kemajuan, mengekalkan kesejahteraan dan pembangunan minda daripada terjajah dengan budaya-budaya songsang yang tidak sihat,”
“Sebagai golongan yang memegang amanah untuk meneruskan kesinambungan perjuangan sewajarnya kita menyelami setiap aspek yang diberikan kepada kita dengan menilai dan mengaplikasikan dalam kehidupan seharian untuk matlamat dan kecemerlangan masa hadapan.”
Tambahnya lagi, kemerdekaan negara ke-53 yang dikecapi kali ini tentunya tidak akan dapat dicapai sekiranya UMNO tidak ditubuhkan.
“Kalau dulu UMNO hanya ada Pergerakan Wanita dan Pergerakan Pemuda, hari kita bersyukur kerana Pergerakan Puteri dapat turut sama membantu memantapkan parti dengan melibatkan sama anak-anak muda sejak peringkat umur remaja turut serta menyertai perjuangan.
“Justeru, generasi muda akan dapat memahami dan menimba pengalaman supaya nanti apabila tiba masanya mereka tampil ke hadapan untuk memimpin parti dan bangsa dengan cukup setia dan faham perjuangan UMNO,” tegasnya lagi.
Sumbangan media-umno.com