Program tarik pereka muda ke fiesta tarian, fesyen kebaya Puteri UMNO
Posted by admin on 18 February 2010 | 0 Comments

KOTA KINABALU 16 Feb. - Pergerakan Puteri UMNO akan menjadikan Fiesta Tarian Melayu Kreatif dan Fesyen Kebaya Puteri UMNO sebagai acara tahunan bermula tahun depan.
Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, program tersebut bertujuan memperkasa seni dan kebudayaan tradisional tempatan yang terdapat di Malaysia.
"Fiesta ini merupakan platform kepada pereka-pereka muda tempatan yang baru berjinak-jinak dalam bidang ini menonjolkan bakat mereka.
"Selain itu, menerusi acara ini kita ingin menarik minat lebih ramai golongan muda agar lebih menghargai warisan bangsa kita," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Fiesta Tarian Melayu Kreatif dan Fesyen Kebaya Puteri UMNO Sabah di sini malam tadi.
Turut hadir pada majlis itu, Ketua Puteri UMNO Sabah, Musliati Moslimin; Ketua UMNO Bahagian Kudat, Datuk Bolkiah Ismail dan Ketua UMNO Bahagian Silam, Datuk Nasrun Datu Mansur.
Sebanyak 10 buah kumpulan dan 21 peserta menyertai pertandingan Tarian Melayu Kreatif dan Fesyen Kebaya yang diadakan sempena fiesta berkenaan.
Bagi kategori Tarian Melayu Kreatif dimenangi oleh Puteri UMNO Bahagian Kota Kinabalu manakala Puteri UMNO Bahagian Tuaran pula memenangi acara Fesyen Kebaya.
Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata, pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk memperjuangkan budaya bangsa Malaysia terutama di kalangan generasi muda.
Beliau berkata, budaya melambangkan identiti sesuatu bangsa dan perbezaan budaya tidak seharusnya timbul di kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini yang telah hidup bersatu padu sejak merdeka.
Jelasnya, kerajaan telah melaksanakan dasar kebudayaan dan konsep 1Malaysia bagi memperkukuhkan lagi semangat perpaduan di kalangan kaum di negara ini.
Beliau menambah, kerajaan memerlukan warisan kepimpinan berkualiti yang mampu merancang dan mentadbir negara secara teratur dan berkesan pada masa depan.
Sumber dari Utusan Malaysia