PERUTUSAN TAHUN BARU 2010
Posted by on 31 December 2009 | 0 Comments
HARI ini kita semua menyambut kehadiran tahun baru 2010. Alhamdulillah kita diberi peluang untuk meneruskan perjuangan mendekati golongan muda selaras dengan matlamat penubuhan Pergerakan Puteri UMNO.
Tentu kita tidak lupa pelbagai peristiwa pahit manis yang sepatutnya menjadi pengajaran untuk kita semua menjadi lebih matang dalam meniti tahun yang pastinya sarat dengan cabaran.
Pergerakan Puteri UMNO sendiri bakal mencapai usia sembilan tahun pada tahun ini. Ini bermakna telah sembilan tahun pergerakan ini diiktiraf sebagai salah satu plaftorm parti kita iaitu UMNO untuk mendekati golongan muda. Kita telah berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan.
Bermula dengan diberi peranan kecil dalam parti iaitu untuk mengendalikan hal ehwal teknologi maklumat, pergerakan kita semakin hari semakin mendapat pengiktirafan. Sehubungan itu untuk memastikan Pergerakan Puteri UMNO terus kekal relevan sebagai sayap parti bersama-sama dengan Wanita UMNO dan Pemuda UMNO, kita tidak boleh leka.
Bermula pada hari pertama Tahun Baru ini, setiap daripada kita mesti berazam dan bertekad untuk meningkatkan sumbangan kepada parti. Kita mesti memperbaiki segala kekurangan pada tahun-tahun sebelumnya. Kita juga mesti bersungguh-sungguh membuktikan bahawa ahli-ahli Pergerakan Puteri UMNO adalah generasi prihatin berwawasan yang mahu bersama-sama induk kita memastikan kedudukan agama, bangsa dan negara terus terpelihara.
Sehubungan itu, saya amat berharap ahli-ahli Pergerakan Puteri UMNO dapat memperbaharui tekad masing-masing supaya tahun 2010 dapat kita lalui dengan menghasilkan program-program lebih berjaya agar manfaatnya dapat dikongsi bersama generasi muda di luar sana.
Selamat Tahun Baru 2010
DATUK ROSNAH ABDUL RASHID SHIRLIN
KETUA PERGERAKAN PUTERI UMNO MALAYSIA