Perhimpunan Agung UMNO 2011 Diadakan Pada 29 November 2011 Hingga 3 Disember 2011
Posted by on 3 August 2011 | 0 Comments
KUALA LUMPUR, 29 Julai – Majlis Tertinggi UMNO bersetuju untuk menetapkan Perhimpunan Agung UMNO diadakan pada 29 November hingga 3 Disember depan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak turut memberitahu Perhimpunan Agung UMNO itu akan bermula pada 29 November dengan Forum Antarabangsa yang disertai delegasi parti-parti luar negara dan majlis perasmian ketiga-tiga sayap, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri.
Katanya persidangan bagi ketiga-tiga sayap itu akan diadakan pada 30 November manakala Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan bermula 1 hingga 3 Disember,
Beliau mengumumkan perkara tersebut selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn di sini, hari ini.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, Ketua Puteri, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Ketua Penerangan, Datuk Ahmad Maslan dan Bendahari Agung, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Pada persidangan media yang sama Najib turut mengumumkan menarik semula penggantungan terhadap empat orang ahli UMNO Bahagian Rantau Panjang.
“Mereka ialah, Datuk Mohd Zin Ismail, Ghazali Ismail, Fauziah Wok dan Mohd Fauzi Omar. Majlis Tertinggi turut melepaskan Amran Mat dan Rosli Hassan,” katanya.
Beliau turut mengumumkan bahawa Jawatankuasa Pengurusan akan mengambil alih pentadbiran UMNO Bahagian Padang Serai sehingga masalah pada peringkat bahagian itu dapat diselesaikan.
Sumbangan dari UMNO-Online