Penubuhan Pasukan Khas Tangani Kes Kanak-Kanak Dan Buang Bayi
Posted by Yb. Datuk Rosnah Bt. Hj. Abd Rashid Shirlin on 29 March 2010 | 0 Comments
Pergerakan Puteri UMNO menggesa supaya ditubuhkan pasukan khas bagi menangani kes penderaan kanak-kanak dan jenayah buang bayi di setiap ibu pejabat polis daerah untuk memastikan siasatan kes tersebut dapat dijalankan segera dan berkesan.
Pasukan tersebut perlu dilengkapi dengan anggota dan pegawai penyiasat yang mempunyai pengetahuan serta latarbelakang jenayah kanak-kanak bagi memastikan kes-kes tersebut dapat disiasat dengan cekap.
Penubuhan pasukan seumpama itu juga akan dapat memastikan tugas hakiki lain-lain anggota dan pegawai tidak terjejas kerana tumpuan siasatan kes dera dan buang bayi diambil alih oleh pasukan khas yang dicadangkan itu.
Langkah IPD Petaling Jaya menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes pembuangan bayi di Kampung Melayu Subang baru-baru ini harus diikuti oleh semua IPD sebagai persiapan untuk menangani jenayah tersebut.
Gejala pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak yang berleluasa kebelakangan ini sememangnya menuntut satu mekanisme yang berkesan termasuk dengan menubuhkan satu pasukan khas untuk memastikan jenayah seumpama itu dapat dibendung.
Puteri UMNO juga berharap masyarakat secara keseluruhannya memberi sokongan kepada setiap usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan pelbagai pihak termasuk akhbar Utusan Malaysia yang menggerakkan kempen Kami Prihatin untuk menyedarkan masyarakat tentang peranan menangani jenayah tersebut.
Puteri UMNO juga menyokong kenyataan Ketua Polis Negara,Tan Sri Musa Hassan supaya masyarakat tidak memandang hina wanita yang hamil anak luar nikah sebaliknya menggunakan pendekatan berhemah untuk menyedarkan mereka tentang kesilapan yang telah mereka lakukan.
Lebih daripada itu, bayi yang dikandung wanita terlanjur sememangnya tidak berdosa tetapi akibat cemuhan masyarakat boleh menyebabkan wanita yang terlibat bertindak di luar kewarasan dengan membuang bayi berkenaan.
Hakikatnya masyarakat memainkan peranan yang sangat penting untuk memastikan remaja tidak terjerumus ke kancah maksiat dan seterusnya melakukan jenayah buang bayi.