Pendedahan Yang Dibuat Oleh YB. Zulkifli Noordin
Posted by Yb. Rosnah Bt. Hj. Abd. Rashid on 25 March 2010 | 0 Comments
Pergerakan Puteri UMNO mendesak pihak berkuasa menyiasat pendedahan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru YB Zulkifli Noordin bahawa beliau pernah diberi tawaran supaya mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes pembunuhan Altantuya Shaaribu.
Siasatan mesti melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terdapat unsur jenayah dan rasuah dalam pendedahan tersebut.
Pendedahan YB Zulkifli Noordin itu tidak boleh dipandang ringan biar pun ia diucapkan di dalam Dewan Rakyat tetapi tidak bermakna seseorang Ahli Parlimen bebas membuat pendedahan tanpa sebarang bukti.
Ia juga bagi membolehkan Ahli Parlimen yang berkenaan bertanggungjawab terhadap pendedahan yang dibuat dan bukannya berselindung di sebalik imuniti sebagai Ahli Parlimen.
Apatah lagi pendedahan terbaru ini dibuat selepas tindakan yang sama diambil oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, YB Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim baru-baru ini.
Puteri UMNO tidak mahu Dewan Rakyat menjadi platform untuk Ahli-Ahli Parlimen membuat pendedahan demi pendedahan tetapi akhirnya segala-galanya terbiar tanpa siasatan dan tidak diambil tindakan.
Sehubungan itu Puteri UMNO mahu supaya pihak berkuasa yang berkenaan memanggil YB Zulkifli Noordin memberi keterangan apatah lagi pendedahan beliau itu melibatkan Perdana Menteri dan isteri.