Pengumuman 

Selamat Hari Jururawat Sedunia, Hari iBU dan Hari Guru 2012

Pelaksana perlu turun padang

Posted by Utusan on 18 November 2009 | 1 Comments

Tags:

Pelaksana perlu turun padang

SUNGAI PETANI 17 Nov. - Agensi-agensi pelaksana dasar kerajaan digesa supaya turun ke akar umbi bagi membantu pucuk pimpinan memperkukuhkan agenda gagasan 1Malaysia.

Naib Ketua Puteri UMNO, Shahanim Mohd. Yusof berkata, langkah itu penting sejajar dengan matlamat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

Katanya, antara langkah yang boleh dilakukan agensi terbabit ialah memperbanyakkan program mendekati masyarakat berbanding hanya mengambil sikap menunggu pelanggan di pejabat.

"Agensi kerajaan khususnya berkaitan pembiayaan, latihan dan perkhidmatan perlu lebih kerap bertemu orang ramai bagi menghebahkan fungsi dan peluang yang ditawarkan jabatan masing-masing.

"Dengan adanya perkara sedemikian, rakyat tidak lagi tertanya-tanya dan berasa terpinggir kerana hubungan sudah terjalin serta akses kepada maklumat sudah dibuka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup kursus penyelenggaraan elektrik dan cat bangunan anjuran Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Utara dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Tepi Sungai di Kota Kuala Muda dekat sini hari ini.

Menurut Shahanim, di Kedah misalnya, agensi kerajaan berkaitan pembiayaan seperti SME Corp dan TEKUN didapati belum menjalankan program mereka secara menyeluruh bagi membantu menjelaskan peranan mereka kepada masyarakat.

Katanya, keadaan tersebut menyebabkan ramai usahawan tidak mengetahui keperluan dokumentasi dan proses permohonan untuk mendapatkan dana kerajaan.

"Ramai juga usahawan khususnya bumiputera yang tidak tahu program pembiayaan dan latihan sedangkan kerajaan telah mengumumkan penambahan dana melalui Bajet 2010 baru-baru ini," katanya.

Dalam pada itu, Shahanim memuji langkah ABM Wilayah Utara dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), yang sanggup membantu masyarakat di kawasan luar bandar melalui penganjuran pelbagai program latihan kemahiran.

Beliau yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Sungai Petani berkata, melalui penganjuran program tersebut, masyarakat luar bandar dan golongan menganggur dapat mengambil peluang untuk memajukan diri dan keluarga.

"Selepas mengikuti kursus-kursus kemahiran, mereka boleh gunakan ilmu dan sijil yang diperoleh untuk mendapat pekerjaan dalam sektor pembinaan," katanya.

Tambahnya, pada masa akan datang, pihaknya bercadang mengumpul lebih ramai lagi masyarakat luar bandar termasuk golongan wanita yang layak dan berminat di Sungai Petani untuk mengikuti kursus dengan ABM.

 

Source: Utusan

 


Pautan   Pautan Khas Suapan Berita Pautan Sosial