Pakatan pembangkang ancam henti bantuan zakat penduduk miskin jika pasang bendera BN
Posted by Admin on 20 April 2010 | 0 Comments
HULU BERNAM: “Bantuan zakat daripada Pusat Zakat Selangor akan dihentikan jika anda memasang bendera Barisan Nasional (BN) di rumah anda.” Itulah ugutan diterima penduduk kawasan perumahan Southern Kinta Consolidated (SKC) di sini, dipercayai dilakukan penyokong kuat pakatan pembangkang pada kempen pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.
Ugutan itu terbongkar ketika jentera Pemuda BN melancarkan ‘Kempen Satu Rumah Satu Bendera BN’ dengan menyerahkan bendera berkenaan kepada penduduk, tetapi dipulangkan semula kerana lebih 100 penduduk dari kawasan perumahan itu bimbang dikenakan tindakan berkenaan.
Seorang penduduk, Hasmah Sukri, 47, berkata ketika beliau sedang memasang bendera BN, seorang penyokong pakatan pembangkang datang ke rumahnya dan mengugut akan memotong wang bantuan zakat yang diterima RM250 sebulan.
“Malah, lelaki itu juga mendakwa mahu menyerahkan rumah yang saya duduki sekarang kepada orang lain jika masih berdegil memasang bendera BN,” kata ibu tunggal itu di sini, semalam.
Beliau yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan berkata, suaminya meninggal dunia pada 2004 dan kini tinggal bersama seorang anak yang belajar di Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan Sri Kledang, di sini.
“Bagaimanapun, saya tidak hiraukan ugutan itu dan tetap memasang bendera BN kerana yakin dengan parti berkenaan yang akan terus membantu orang miskin seperti saya,” katanya.
Saharuddin Maali, 47, berkata beliau didatangi seorang lelaki yang mengugutnya kerana memasang bendera BN di rumah.
“Ketika lelaki itu lalu di depan rumah saya, dia tanya kenapa pasang bendera orang sebelah (BN)?... awak tak akan dapat geran tapak rumah dan zakat nanti,” katanya.
Beliau yang juga pesara tentera berkata, tidak menghiraukan ugutan itu kerana menganggap pemberian hak milik tapak rumah dan zakat tidak boleh dipolitikkan.
Abd Manat Mohd, 59, berkata beliau ditawarkan bayaran 50 sen sekaki persegi bagi permohonan tapak rumah, namun tetap memasang bendera BN.
“Saya kesal sepatutnya penyokong pakatan pembangkang tidak boleh menangguk di air keruh ketika kempen pilihan raya kecil ini,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mokthar Ahmad, 47, berharap kerajaan Pusat peka dengan nasib penduduk di kawasan perumahan itu yang sekian lama menunggu geran tapak rumah serta bergantung kepada wang zakat untuk menyara kehidupan selepas aktiviti perlombongan di kawasan sekitar daerah ini ditutup 20 tahun lalu.
Ketua Umno cawangan Kampung Sri Keledang, Mokhtar Hassan, berkata kawasan daerah mengundi SKC adalah kubu kuat BN di Hulu Selangor dan hanya segelintir penduduk saja yang menjadi penyokong pakatan pembangkang.
Katanya, kempen kibar bendera di kawasan itu menjadi tamparan hebat kepada pakatan pembangkang menyebabkan mereka mengambil tindakan sebegitu apabila menyedari mereka gagal memperoleh sokongan penduduk di sini.
“Ini menunjukkan betapa bongkaknya penyokong pakatan pembangkang dan selama ini pihak kerajaan BN tidak pernah membezakan apa juga fahaman politik seseorang itu demi membantu rakyat negeri ini.
“Tetapi apabila pakatan pembangkang mentadbir negeri ini, mereka jadikan kuasa yang ada pada mereka sebagai senjata bertujuan mendapat sokongan rakyat,” katanya ketika di temui di Bilik Gerakan Jentera BN di Kampung Sri Keledang.
Sumber dari bharian.com.my