Pengumuman 


Norway tangga teratas indeks pembangunan manusia

Posted by Admin on | 0 Comments

Tags:

PARIS 5 Okt. - Norway berada di kedudukan teratas indeks tahunan pembangunan manusia yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini, namun China muncul negara paling banyak melakukan usaha dalam meningkatkan kesejahteraan rakyatnya.

Indeks itu yang dikeluarkan Program Pembangunan PBB (UNDP) menyenaraikan ranking 182 negara berdasarkan kriteria seperti jangka hayat, kadar celik huruf, pendaftaran sekolah dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita.

Norway, Australia dan Iceland berada di tiga kedudukan teratas indeks, sementara Nigeria di tangga tercorot, satu kedudukan di bawah Afghanistan.

China melonjak tujuh tangga ke tangga 92 negara paling membangun berikutan penambahbaikan dalam bidang pendidikan, tahap pendapatan serta jangka hayat.

Columbia dan Peru pula mencatat kenaikan lima tangga masing-masing di kedudukan ke-77 dan ke-78, sementara Perancis, yang tidak tersenarai sebagai negara 10 teratas indeks pada tahun lalu, naik tiga tangga ke tangga kelapan pada tahun ini.

Menurut UNDP, indeks tersebut mendedahkan jurang yang amat ketara antara negara kaya dan miskin.

Kanak-kanak yang lahir di Nigeria dijangka hidup hanya sehingga 50 tahun, 30 tahun kurang berbanding yang lahir di Norway. Pendapatan satu dolar yang diperolehi seorang rakyat Nigeria pula, bersamaan dengan 85 dolar yang diterima rakyat Norway.

Indeks tahun ini juga dikeluarkan berdasarkan data 2007 dan tidak mengambil kira kesan krisis ekonomi global.

"Banyak negara mengalami pelbagai rintangan dalam tempoh beberapa dekad kebelakangan ini seperti berhadapan kemerosotan ekonomi, krisis berkaitan konflik serta epidemik HIV dan AIDS.

"Semua ini berlaku sebelum kesan krisis kewangan global dirasai,'' kata penulis laporan pembangunan PBB, Jeni Klugman.

Afghanistan, yang tersenarai semula dalam indeks itu untuk kali pertama sejak 1996, merupakan satu-satunya negara Asia berada di 10 tangga paling bawah termasuk Sierra Leone di kedudukan ke-180, di bawah Republik Afrika Tengah.

Sepuluh negara teratas indeks adalah Norway, Australia, Iceland, Kanada, Ireland, Belanda, Sweden, Perancis, Switzerland dan Jepun.

Amerika Syarikat (AS) berada di tangga ke-13, jatuh satu kedudukan berbanding tahun lalu. - AFP


Pautan   Pautan Khas Suapan Berita Pautan Sosial