Nicol teruskan kemaraan
Posted by Admin on | 0 Comments
Tags:
Gaya Hidup

KUALA LUMPUR - Datuk Nicol David hanya dipisahkan dua langkah lagi daripada merangkul kejuaraan dunia keempatnya apabila melayakkan diri ke separuh akhir kejohanan skuasy Terbuka Dunia di Amsterdam, Belanda semalam.
Malah, pemain No. 1 dunia itu juga tidak perlu mengulangi pertemuan dengan lawan yang telah mengejutkannya di suku akhir Terbuka Britain, dua minggu lalu iaitu Madeline Perry selepas pemain veteran Ireland itu terkandas di suku akhir.
Semalam, Nicol menggunakan pengalaman pahit dikecewakan Perry di Manchester untuk mengatasi situasi getir, termasuk tewas di set kedua sebelum menyingkirkan juara kebangsaan Britain dan pilihan kelima, Jenny Duncalf 11-6, 11-13, 11-6, 11-7 dalam masa 57 minit.
Ini merupakan kemenangan ke-10 berturut-turut yang dicatat Nicol ke atas Duncalf sejak 2007.
Ketika melalui detik mencemaskan, di mana dia turut ketinggalan 2-6 di set ketiga, Nicol terus memukul bola dekat ke dinding dan seperti biasa, memaksa Duncalf lebih banyak bermain di belakang.
Nicol, juara dunia 2005, 2006 dan 2008 hanya memulakan serangan apabila lawannya mula melakukan kesilapan dan hilang rentak permainan
"Saya fikir apa yang berlaku dua minggu lalu (Terbuka Britain) banyak membawa perbezaan dalam perlawanan ini.
"Saya tidak mahu fikir tentang tewas pada perlawanan ini. Saya kena kuat dan terus memberi tekanan, bukan tergelincir lagi.
"Saya sedar saya tidak boleh membiarkan perasaan itu terbawa-bawa di kepala - situasi seperti ini memaksa anda bekerja lebih keras,'' ujar Nicol, merujuk kepada kekalahannya kepada Perry di Manchester.
Menanti Nicol selepas ini adalah pilihan keempat, Alison Waters dari England, yang mengecewakan Perry 11-5, 11-8, 11-13, 11-2 dalam masa 50 minit.
Nicol, 26, memenangi kesemua lapan pertemuannya dengan Waters sebelum ini, tiga daripadanya dicatat pada 2009 itu di Masters Singapura (Ogos), Terbuka Malaysia (Ogos) dan Terbuka Seoul, Jun lalu.