MATLAMAT KEHIDUPAN
Posted by on 28 December 2009 | 0 Comments
Tags:
Gaya Hidup
Sidang pembaca yang budiman. Masa begitu pantas berlalu, InsyaAllah, beberapa hari lagi kita akan menyambut kedatangan bulan Muharram yang menandakan permulaan bagi awal tahun baru 1431 Hijrah. Setiap kali bermulanya awal tahun, ramai dalam kalangan kita akan memperbaharui azam dengan meletakkan sasaran atau matlamat kehidupan. Dalam usaha mencapai matlamat atau cita-cita, kita sering kali merintangi onak dan duri, dihalangi oleh pelbagai kesulitan. Semakin tinggi matlamat, semakin bertambah hebat pula penghalangnya, semakin jauh cita-cita, semakin bertambah berat pula beban yang tertanggung, seolah-olah cita-cita dan kesulitan sentiasa beriringan. Berapa banyak jiwa yang terancam oleh kelemahan dan keletihan, lantaran itu langkah terhenti oleh rasa putus asa. Justeru, dalam semua lapangan kehidupan manusia harus mempunyai tujuan yang betul. Kehidupan tanpa sebarang tujuan dan matlamat yang betul adalah kehidupan yang hampa dan rugi. Manusia yang beruntung adalah yang sentiasa menjunjung tinggi tujuan hidupnya yang murni sepertimana yang dikhabarkan melalui Firma Ilahi:
Tidaklah Aku menjadikan manusia dan jin, melainkan untuk beribadah (kepadaKu)
[Surah al-Dhariyat: 56]
Segala amalan yang dilakukan kerana mencari keredaan Allah (s.w.t) samaada dalam menunaikan tanggungjawab terhadap agama, negara, bangsa, masyarakat, keluarga bahkan diri sendiri akan mendapat ganjaran kerana amalan tersebut dianggap sebagai suatu ibadah. Renungilah Sabda Baginda Rasulullah (s.a.w) yang berkait rapat dengan peristiwa Hijrah:
Sesungguhnya segala amalan itu adalah dengan niat, dan bagi setiap orang itu apa yang diniatkannya. Maka, sesiapa yang berhijrah kerana Allah (s.w.t) dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah (s.w.t) dan RasulNya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia, maka ia akan memperolehinya, atau kerana perempuan, maka ia akan mengahwininya, Hijrah adalah menurut tujuan hijrahnya itu.
[Hadith Sahih diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim r.a.]
Segala amalan adalah dengan niat. Niat adalah tujuan (qasad) dan kehendak hati (iradah). Niat yang terselit dihati adalah penentu akibat daripada amalan seseorang, samaada baik atau jahat, dosa atau pahala. Niat yang baik itu sudah tentu mempunyai arah tujuan atau ketentuan maksudnya disertai keazaman yang kuat. Justeru, sempena awal tahun ini kita letakkanlah sasaran dari segala amalan kita kerana mencari keredaan Allah (s.w.t) dengan niat dan keazaman yang kuat untuk melaksanakan segala titah perintahNya. Dengan matlamat yang betul, niat yang benar dan kehendak hati yang kuat akan terjelmalah kejujuran, keikhlasan, kemuliaan dan kemurnian jiwa. Semangat perjuangan akan sentiasa kental tanpa rasa hampa dan putus asa, walaupun badai melanda. Wassalam
Oleh:Absar,Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Terengganu