Pengumuman 


Lucutkan Kerakyatan Namewee

Posted by YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin on 27 August 2010 | 0 Comments

Pergerakan Puteri UMNO mahu kerajaan bertindak tegas termasuk melucutkan kerakyatan Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee berikutan penerbitan klip video terbarunya bertajuk Namewee Fuck Racism Malaysia NAH!!!


Video klip yang merujuk kepada kes seorang guru yang dikatakan memarahi pelajar-pelajarnya dengan perkataan berbaur perkauman itu amat tidak wajar malah melampaui tatasusila warganegara Malaysia.


Pergerakan Puteri UMNO mendapati klip video yang dilengkapi sarikata berbahasa Melayu itu amat keterlaluan dan boleh menyemarakkan api perkauman di negara ini.


Di dalam klip video itu, Namewee antara lain menyebut `ada satu orang cacat namanya... (sambil menyebut nama guru berkenaan) serta menyatakan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sebagai kurang ajar. 

Lebih dikesali apabila anak muda itu membangkitkan persoalan siapa yang membuat Malaysia kaya. Katanya, walaupun perkara tersebut tidak dinyatakan dalam sejarah namun ia boleh didapati menerusi Internet.  Selain itu, Namewee dalam klip video yang disiarkan menerusi laman itu berulang kali menunjukkan isyarat lucah serta baris perkataan `Nah ... (nama guru tersebut) Nah f... banana’’.


Pergerakan Puteri UMNO mendesak kerajaan supaya bertindak tegas kerana anak muda itu ternyata tidak serik mengulangi perbuatan kurang ajar yang jelas menunjukkan dia tidak mempunyai rasa hormat jauh sekali mempunyai tanggungjawab terhadap tanah air sendiri.  Jika dalam penerbitan klip video lagu Negaraku dan F...
TNB, tiada sebarang tindakan diambil terhadap Namewee, maka kali ini dia tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.


Pergerakan Puteri UMNO kesal kerana setiap kali orang Melayu bercakap tentang hak mereka akan disifatkan sebagai perkauman tetapi pada masa yang sama orang bukan Melayu bebas untuk bercakap apa sahaja.


Namewee adalah lambang generasi muda yang tidak tahu menghargai erti kemerdekaan dan perpaduan kaum yang dinikmati rakyat negara selama ini. Oleh itu adalah wajar tindakan tegas dikenakan terhadapnya supaya menjadi pengajaran kepada semua pihak bahawa isu perkauman bukanlah bahan mainan yang boleh dicarut dan disebarluaskan menerusi Internet.  Apatah lagi isu guru yang dikatakan mengeluarkan perkataan berbaur perkauman itu telah pun diserahkan kepada pihak berkenaan untuk disiasat dan menunggu hukuman dilaksanakan.  Adalah tidak wajar jika guru itu dihukum tetapi Namewee yang secara terang-terangan perkauman dengan disaksikan seluruh dunia dibiarkan bebas begitu saja.


Post your comment

Comments

No one has commented on this page yet.

RSS feed for comments on this page | RSS feed for all comments

Pautan   Pautan Khas Suapan Berita Pautan Sosial