Pengumuman 


Lantik Ketua Puteri Cawangan Perwakilan

Posted by Admin on 15 October 2009 | 1 Comments

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Puteri UMNO mencadangkan agar semua ketua Puteri cawangan dilantik secara automatik sebagai perwakilan ke mesyuarat bahagian dan kuasa menandatangani borang permohonan ahli baru bagi membolehkan lebih ramai golongan muda menyertai UMNO.

Ketuanya, Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, pada masa ini, hanya ketua Puteri cawangan yang dipilih layak menghadiri mesyuarat UMNO bahagian dan tidak dibenarkan menandatangani borang permohonan ahli baru.

''Pelantikan ketua Puteri cawangan secara automatik sebagai perwakilan di bahagian akan membentuk satu angka atau kumpulan yang signifikan dalam parti.

''Lebih ramai ahli terlibat dalam pemilihan jawatan tertinggi parti sekali gus menjadikan pemimpin UMNO adalah gambaran sebenar pemimpin yang dikehendaki rakyat,'' katanya ketika menyampaikan ucapan pada Persidangan Perwakilan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Rosnah menjelaskan, jika cadangan itu dipersetujui dalam pindaan tersebut, ketua Puteri di peringkat cawangan mempunyai kuasa memilih para pemimpin sehingga ke peringkat Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

''Ini bermakna kuasa memilih pucuk kepimpinan parti tidak lagi berada di tangan 2,500 perwakilan sebaliknya diturunkan kepada 150,000 perwakilan di 191 mesyuarat bahagian,'' ujarnya.

Menurut beliau, cadangan itu bukan sahaja dapat membendung gejala politik wang, bahkan menjadikan UMNO benar-benar serius mahu melibatkan ahli mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan.

''Langkah ini juga menjadikan UMNO tidak eksklusif untuk golongan tertentu sahaja,'' jelasnya.

Beliau yakin pindaan perlembagaan parti itu akan menjadikan UMNO kembali memenuhi aspirasi rakyat terutama dalam menjiwai keperluan golongan muda.

''Ini merupakan peluang kita untuk memasyarakat, merakyat dan mengakar umbikan UMNO,'' tegasnya.


Pautan   Pautan Khas Suapan Berita Pautan Sosial