HULU SELANGOR, 9 Jan. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta para pemimpin di semua peringkat untuk tidak alpa, leka dan lalai dalam melaksanakan tanggungjawab bagi memastikan parti yang didukung terus menjadi juara rakyat.
Katanya, semua ahli dan para pemimpin jangan terlalu bermain politik, berangan-angan dan bermimpi untuk menjadi wakil rakyat kerana sekiranya tanggungjawab yang diamanahkan benar-benar dilaksana maka parti sendiri akan menilai dan memberikan kepercayaan.
“Kedudukan kita adalah kerana kehendak dan restu rakyat selaras sebagaimana sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan lantas apabila rakyat memberi isyarat dan teguran maka kita tahu apa yang perlu kita buat,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapan perasmian Program Juara Rakyat di tapak expo di sini di hadapan lebih 20,000 rakyat berbilang bangsa.
Dalam masa yang sama, beliau menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) dan UMNO sendiri bukanlah parti sambil lewa sebaliknya sedar bahawa rakyat mempunyai kuasa dalam menentukan kepimpinan Negara.
Pesan beliau, jangan sesekali kita sombong dan mendabik dada kerana pemimpin hanya akan berada di atas apabila di sokong rakyat dan apabila rakyat tidak memberikan sokongan maka tentunya pemimpin akan tersungkur.
“Kita mesti menyusun langkah untuk memastikan dan memperlihatkan bahawa kita adalah parti yang sentiasa merasai denyutan nadi rakyat sepanjang masa,” katanya.
Lantaran itu, beliau mengajak masayarakat mengambil iktibar berdasarkan pilihan raya umum di Jepun tahun lalu yang menyaksikan LDP dikalahkan oleh parti lawan; iaitu mengambil banyak persamaan antara UMNO/BN sebagai sebuah parti pemerintah yang lama sebagaimana LDP.
“Kesempatan bertemu dengan Perdana Menteri Jepun yang baru memberi peluang untuk saya bertanya kepada beliau bagaimana LDP boleh dikalahkan – jawapannya ringkas dan hanya dengan sepotong ayat iaitu LDP sudah tidak lagi di hati rakyat,” cerita beliau.
Dalam kesempatan tersebut, Perdana Menteri juga turut mengimbas sejarah sejak sebelum kemerdekaan apabila UMNO menjadi juara dalam mempelopori kebangkitan rakyat menentang Malayan Union lantas bersama-sama melakukan tuntutan kemerdekaan dan menjuarai kehidupan masyarakat hingga ke hari ini.
“Siapa yang kata UMNO rasis adalah mereka yang sengaja menafikan sejarah lampau kerana sejarah telah membuktikan bahawa UMNO bersama-sama MCA dan MIC memperjuangkan kemerdekaan dan mempertahankan kedaulatan hingga ke hari ini,” tegas beliau.
Selaras dengan itu, beliau menegaskan juga bahawa UMNO sentiasa menghormati kedudukan kaum-kaum lain di Negara ini tetapi dalam masa yang sama terus memperjuangkan bangsa sendiri daripada terus ketinggalan.
Dalam pada itu, beliau turut menempelak segelintir pihak yang sering sahaja menunding jari dan menyalahkan UMNO atas pelbagai insiden yang berlaku termasuklah membakar gereja.
“UMNO tidak akan berbuat demikian malah prinsip adil dan saksama terus dipertahankan untuk semua kaum dengan semangat 1Malaysia tetap diperjuangkan,” tegasnya lagi.
Sementara dalam sidang medianya, Perdana Menteri menjelaskan bahawa program tersebut akan diteruskan setiap bulan mengikut negeri-negeri dalam hasrat untuk mendekati rakyat dan menyelami setiap permasalahan yang ada.
Jelasnya, walaupun UMNO mempelopori program Juara Rakyat tetapi ia melibatkan semua kaum dengan perjuangan berterusan untuk kepentingan masyarakat keseluruhannya.
“Apa yang penting adalah kita prihatin dan mengambil tindakan berlandaskan kepada kemampuan kita,” katanya.
Dalam masa yang sama, Perdana Menteri juga berkesempatan mengunjungi gerai-gerai jualan dan pameran bukan sahaja untuk meninjau suasana sekitar tetapi juga mendekati masyarakat dalam semua peringkat.
Sumber:UMNO-Online