Keputusan Mahkamah SPRM Ada Kuasa Siasat Kes Rasuah Tanpa Batasan Masa
Posted by Admin on 31 December 2009 | 0 Comments
Tags:
Semasa
Pergerakan Puteri UMNO mengalu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan semalam mengembalikan kuasa kepada SPRM untuk menyiasat kes-kes rasuah tanpa batasan masa.
Sesungguhnya keputusan tersebut yang membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini untuk menghadkan masa siasatan kepada 8.30 pagi hingga 5.30 petang memberikan ruang sebenar kepada SPRM untuk terus menyiasat kes-kes rasuah tanpa mengenal batasan ruang dan waktu.
Keputusan tersebut juga membuktikan bahawa wujud usaha untuk membataskan kuasa dan pergerakan SPRM dalam membongkar kes-kes rasuah sekali gus melewatkan siasatan yang hendak dijalankan sehingga boleh saja menyebabkan longgokan kes.
Sudah tentu jika batasan waktu ditetapkan maka SPRM terpaksa berdepan dengan halangan dan kekangan dalam melaksanakan tugasnya.
Yang pasti jika waktu siasatan dihadkan kepada waktu pejabat, maka SPRM tidak dapat menjalankan siasatan secara cekap dan berkesan, malah lebih dibimbangi lagi ia juga boleh memberi kesan pengumpulan bukti yang boleh dimusnahkan sebelum atau selepas waktu pejabat.
Apabila SPRM gagal melaksanakan tugas dengan cekap disebabkan batasan ruang dan waktu, maka ia akan dijadikan modal politik oleh pembangkang untuk menuduh SPRM sebagai tidak cekap, lemah dan membazirkan waktu siasatan. Sedangkan pembangkanglah yang berusaha untuk menetapkan batasan tersebut dan kelak meletakkan beban kepada SPRM untuk menangkis segala tohmahan dan tuduhan yang telah dirancang.
Tidak ada negara di dunia yang menetapkan peraturan seumpama itu terhadap badan pencegah rasuah di negara mereka, justeru tidak ada sebab mengapa Malaysia mesti berbuat demikian sedangkan amat terang dan nyata peraturan seperti itu tidak mendatangkan sebarang kebaikan bahkan akan melemahkan SPRM sendiri.
Justeru Pergerakan Puteri UMNO percaya keputusan Mahkamah Rayuan semalam mendorong SPRM untuk bekerja lebih keras membongkar kes-kes rasuah tanpa mengenal bulu dan kedudukan. SPRM mesti membuktikan bahawa objektif penubuhannya untuk membersihkan negara dari gejala rasuah dapat dicapai tanpa ada rasa gerun dan gentar termasuk dalam menghadapi cubaan pembangkang untuk melemahkan kuasa badan tersebut.
Sekian, terima kasih
YB Datuk Rosnah bt. Hj. Abdul Rashid Shirlin
Ketua Pergerakan Puteri UMNO
Timbalan Menteri Kesihatan
Ahli Parlimen Papar