Kepemimpinan Rosnah Terajiu Puteri UMNO Mula Dibandingkan
Posted by admin on 24 June 2010 | 0 Comments
SELEPAS lebih setahun menerajui Pergerakan Puteri UMNO, kepemimpinan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, kini sudah mula dinilai, sehingga ada yang cuba membandingkannya dengan dua pemimpin terdahulu Puteri UMNO dikatakan lebih bersatu dan lebih nampak ‘taringnya’ pada zaman dua pemimpin terdahulu, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Noraini Ahmad, berbanding sekarang.
Benarkan Puteri UMNO kini semakin lesu dan tidak bersatu? Apakah ia kesan daripada pertandingan sengit dalam Perhimpunan Agung UMNO 2009? Mungkinkah senario politik semasa dan impak tsunami politik dalam pilihan raya umum 2008, turut memberi kesan kepada sayap bongsu UMNO itu?
Harus diingat, di sebalik kegigihannya dalam melaksanakan pelbagai aktiviti untuk menarik lebih ramai sokongan golongan muda terhadap perjuangan Puteri UMNO, Noraini juga pernah dibandingkan dengan Azalina, namun ia lebih kepada ‘kelantangan’ dalam bersuara.
Dari segi rajin bekerja dan paling ligat turun padang, kewibawaan Noraini tidak dapat dipersoalkan. Begitu juga zaman Azalina, tetap terpahat dalam sejarah sebagai zaman kegemilangan Puteri UMNO.
Kini giliran Rosnah pula dibandingkan dengan dua bekas Ketua Puteri UMNO itu dengan Puteri UMNO dikatakan tidak sehebat di bawah kepemimpinan Azalina serta tidak seligat di bawah kepemimpinan Noraini. Penulis ingat lagi ikrar Rosnah sebaik mengambil alih teraju kepemimpinan Puteri pada perhimpunan agung parti Mac 2009.
Pertamanya mahu merapatkan kembali saf dalam Puteri UMNO dan keduanya, mahu mencontohi kewibawaan dua bekas Ketua Puteri UMNO terdahulu dalam meneruskan perjuangan Puteri.
Rosnah mahu menjiwai agresifnya Azalina dalam memperjuangkan isu membabitkan golongan muda dan ahli Puteri, pada masa sama mahu menggunakan kelembutan Noraini untuk menarik lebih ramai generasi muda supaya mendekati pergerakan itu.
Kini, meskipun kecaman dilemparkan segelintir pihak, Ahli Parlimen Papar itu mengambil sikap enggan melatah, sebaliknya mahu fokus ke arah usaha memperkukuhkan lagi Puteri UMNO dan lebih suka memikirkan hala tuju masa depan pergerakan itu.
Malah katanya, beliau masih berpegang kuat kepada ikrarnya dengan melaksanakan semua pendekatan perlu ke arah mencapai matlamat itu, sebaik mengambilalih teraju kepemimpinan sayap berkenaan.
“Apa yang cuba digambarkan di luar sana mengenai Puteri UMNO tidak benar sama sekali. Kami dalam Puteri UMNO tidak berpecah. Mungkin ada seorang dua yang tidak berpuas hati. ia adalah masalah peribadi dan perkara ini biasa berlaku dalam mana-mana organisasi. Secara keseluruhan Puteri UMNO cukup bersatu.
“Kepada seorang dua yang tidak berpuas hati di luar sana, saya merayu supaya janganlah mengaibkan nama pergerakan Puteri. Ketepikan segala bentuk ketidakpuasan hati anda dan utamakan perjuangan Puteri. Kalau ada yang kurang senang dengan apa juga perkara datanglah berjumpa saya,” katanya.
Sambil mengakui dirinya tidak dapat lari daripada dibandingkan dengan pemimpin terdahulu, Rosnah berkata beliau bersikap terbuka dalam hal itu dan bersedia menerima apa juga kritikan membina demi kebaikan Puteri.
Begitu juga hubungannya dengan Naib Ketua Puteri, Shahanim Mohd Yusof yang dikatakan ‘tidak sebulu’ sejak kedua-duanya dipilih dalam Perhimpunan Agung UMNO Mac 2009 sehinggalah sekarang.
Malah terdengar juga cakap-cakap mengatakan Rosnah tidak pernah memberi kepercayaan kepada Naib Ketuanya itu untuk mewakilinya atau memangku jawatan Ketua Puteri termasuk ketika beliau cuti bersalin, untuk mempengerusikan sebarang mesyuarat, malah pada pilihan raya kecil.
Segala-galanya dikatakan bermula daripada pelantikan barisan exco oleh Rosnah sebaik mengambil alih teraju sayap itu, apabila tradisi melantik naib sebagai Pengerusi Biro Keahlian yang dianggap biro paling penting tidak diteruskan, dengan Shahanim diberikan Biro Antarabangsa, manakala Biro Keahlian diberikan kepada Ketua Puteri Sepang, Rina Mohd Harun.
Dalam rombakan minggu lalu Biro Keahlian diserahkan kepada Penolong Setiausaha Puteri UMNO, Azita Abdul Rahman dengan Rina yang dikatakan berjaya merekrut kira-kira 25,000 ahli baru sepanjang tempoh 14 bulan menerajui biro itu, diberikan tugas baru menerajui Biro Pembangunan Kerjaya, yang disifatkan Rina sebagai satu cabaran baru yang akan dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab.
“Saya ‘ok’ dengan Shahanim dan tidak ada masalah untuk bekerja dengannya. Malah saya tidak akan selamanya di sini dan sebagai Naib Ketua Puteri, saya mahu ‘groom’ bakal pengganti saya,” katanya.
Malah dalam rombakan terkini Exco Puteri UMNO yang dilakukan Rosnah minggu lalu, menyaksikan Shahanim diberi satu lagi kepercayaan iaitu menerajui Biro Pindaan Perlembagaan, selain kekal menerajui Biro Antarabangsa.
Rombakan yang menyaksikan penambahan biro daripada 18 kepada 26 itu juga menyaksikan beberapa pengwujudan biro baru dan pelantikan ketua-ketua Puteri Negeri dalam biro berkenaan, bertujuan memantapkan lagi sayap itu.
Sementara itu, Shahanim sendiri mengakui hubungannya dengan Rosnah memang tidak ada masalah, dan beliau juga mahu fokus kepada biro yang diamanahkan kepadanya, sambil pada masa sama membantu memantapkan Puteri Kedah, bagi memastikan Barisan Nasional (BN) dapat menawan semula negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
Sumber dari bharian.com.my