Kenyataan YB Datuk Rosnah Bt. Hj. Abd. Rashid Shirlin Ketua Pergerakan Puteri UMNO Mengenai Middle Malaysia
Posted by YB. Datuk Rosnah Binti Hj. Abd Rashid Shirlin on 23 March 2010 | 0 Comments
Pergerakan Puteri UMNO mahu generasi muda melihat latar belakang kewujudan konsep Middle Malaysia dan membandingkannya dengan gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Parti pembangkang khususnya DAP cuba berselindung di sebalik nama Middle Malaysia untuk meneruskan agenda Malaysian Malaysia yang berpaksikan kepada konsep kesamarataan dan bukannya kesaksamaan.
Tindakan DAP cuba membangkitkan persoalan kononnya gagasan 1Malaysia adalah ciplak kepada Middle Malaysia juga jelas menunjukkan parti itu kekeringan idea untuk meraih sokongan rakyat terutamanya setelah mendapati tindakan Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan berjaya menjalar di kalangan rakyat.
Puteri UMNO percaya, DAP dan pakatan pembangkang semakin ketandusan idea untuk membuktikan bahawa parti itu berkhidmat untuk rakyat. Barisan pemimpin DAP juga terlalu bermain dengan retorik dan bimbang gagasan 1Malaysia akan menjadi penghalang besar terhadap usaha mereka untuk menidakkan hak orang Melayu di bawah Perlembagaan.
Sehubungan itu, Puteri UMNO amat berharap agar generasi muda berhati-hati dan bijak membuat penilaian antara retorik DAP menerusi Middle Malaysianya dengan gagasan 1Malaysia yang ternyata memberi keutamaan kepada rakyat dan mementingkan pencapaian.
Generasi muda tidak boleh memandang ringan usaha DAP untuk mengetepikan kepentingan Perlembagaan dan menjadikan prinsip kesamarataan sebagai asas perjuangan mereka kerana kesannya terhadap pembentukan negara bangsa amat besar terutamanya terhadap kedudukan orang Melayu dan agama Islam.
Sementara itu, Puteri UMNO turut kesal tindakan ahli-ahli Parlimen pembangkang menimbulkan kekecohan pada sidang Dewan Rakyat semalam.
Tindakan yang ternyata bertentangan dengan peringatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Zainal Abidin itu juga menunjukkan ahli-ahli Parlimen pembangkang tidak matang dan tidak menghormati saranan Seri Paduka.
Setiap ahli Parlimen sepatutnya memainkan peranan sebagai wakil rakyat secara berkesan dan memastikan fungsi mereka di Dewan Rakyat adalah untuk kepentingan rakyat dan bukannya cuba menegakkan agenda parti.