Kenyataan Ahli Parlimen Taiping Mengenai Pembinaan Masjid
Posted by Admin on 31 December 2009 | 0 Comments
Tags:
Semasa
Pergerakan Puteri UMNO kesal di atas kenyataan Nga Kor Ming yang mempersoalkan peruntukan besar kerajaan untuk pembinaan masjid-masjid di seluruh negara sepanjang tempoh 2000-2008. Kenyataan tersebut jelas menimbulkan kemarahan umat Islam di negara yang penduduk majoritinya beragama Islam dan agama rasminya juga agama Islam. Malah negara yang bernama Malaysia ini dinaungi pemerintah yang juga beragama Islam.
Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas pembentukan negara secara jelas menyebut di bawah Perkara 3, bahawa Islam adalah agama rasmi di negara ini dan agama-agama lain dibenar diamalkan secara aman dan harmoni. Sehubungan itu, sangat jelas, kenyataan ahli Parlimen DAP itu bertentangan dengan semangat Perlembagaan itu sendiri dan tidak menghormati kedudukan Islam sebagai agama rasmi Malaysia.
Tindakan pemimpin DAP mempersoalkan peruntukan besar bagi membina masjid-masjid di seluruh negara tidak boleh dibiarkan tanpa sebarang tindakan. Pemimpin itu juga ternyata dangkal ilmunya dan tidak mempunyai semangat sebagai seorang rakyat Malaysia.
Ini kerana dalam sekelip mata mereka secara terang-terangan membangkitkan peruntukan untuk membina masjid-masjid di negara ini seolah-olah penganut agama lain langsung tidak diberi peruntukan untuk membina rumah ibadat masing-masing.
Pergerakan Puteri UMNO mahu kerajaan memberi amaran dan mengenakan hukuman tegas terhadap pemimpin DAP itu kerana mengeluarkan kenyataan yang ternyata menghasut, mengundang provokasi dan boleh menyalakan api kemarahan di kalangan umat Islam di negara ini. Kenyataan seumpama itu juga sangat jelas bertujuan menimbulkan perasaan benci membenci antara kaum dan seterusnya memburukkan lagi prasangka antara kaum yang telah pun berputik akibat bangkitnya isu ketuanan Melayu juga oleh pemimpin DAP.
Satu demi satu hak orang Melayu dan umat Islam dibangkitkan oleh pembangkang dan tindakan itu jika tidak dibendung akan memporak-porandakan negara dan mencetuskan satu lagi insiden rusuhan kaum.
Sudah tiba masanya bagi kerajaan bertindak untuk memastikan kebebasan bersuara tidak digunakan sewenang-wenangnya sehingga mengundang kegelisahan di kalangan rakyat. Pergerakan Puteri UMNO juga turut mempersoalkan ahli-ahli pembangkang yang berketurunan Melayu dan Islam yang mendiamkan diri dalam isu tersebut.
Sekian, terima kasih
YB DATUK ROSNAH BT. HJ. ABD. RASHID SHIRLIN