Pengumuman 


Keganasan Pesakit Mental

Posted by YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin on 17 August 2010 | 0 Comments

Pergerakan Puteri UMNO bimbang dengan insiden keganasan melibatkan pesakit mental yang kerap berlaku kebelakangan ini sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa dan mendatangkan kecederaan kepada mangsa. Kejadian terbaru di Teluk Intan yang menyaksikan seorang surirumah diikat dan dibunuh, di Hulu Terengganu sekeluarga disimbah asid dan di ibu negara warga Indonesia dibunuh suami jelas menunjukkan tekanan hidup sehingga seseorang itu sanggup berbuat apa sahaja termasuk bertindak ganas sehingga menimbulkan ketakutan dalam masyarakat.

 

Sehubungan itu, Pergerakan Puteri UMNO mahu masyarakat dan semua pihak termasuk jabatan kerajaan seperti jabatan agama diberi pendidikan dan celik pada symptom-simptom tekanan mental dan kesannya supaya kumpulan ini diberi perhatian bagi mengelak berlakunya insiden yang tidak diingini.

 

Dalam kes di Teluk Intan, surirumah yang terkorban telah mengadu kepada jabatan agama tentang suaminya, tetapi aduannya kurang mendapat perhatian. Keadaan itu mungkin disebabkan kurangnya maklumat atau pendidikan mengenai kesan tekanan mental di kalangan kakitangan jabatan tersebut sehingga akhirnya menimbulkan tragedi yang amat menyayat hati itu.

 

Justeru, Pergerakan Puteri UMNO menggesa supaya setiap jabatan yang menjadi tempat rujukan atau aduan orang ramai supaya melatih kakitangan masing-masing dengan ilmu yang membolehkan mereka memahami kes-kes berkaitan kesihatan mental dan bertindak segera jika ada aduan yang berkaitan.

 

Dalam kes di Hulu Terengganu dan di ibu negara biar pun si pelaku tidak mempunyai sejarah sebagai pesakit mental namun latar belakang mereka menunjukkan ada tekanan yang perlu ditangani dan dipandang berat oleh masyarakat untuk mengelak golongan seperti itu bertindak ganas sehingga mendatangkan kebimbangan dalam masyarakat.

 

Puteri UMNO jua menggesa supaya pendidikan mengenai kesihatan mental diperhebatkan di kalangan masyarakat lantaran masyarakatlah yang paling rapat dengan golongan tersebut dan perlu memainkan peranan untuk sama-sama memastikan sesuatu tindakan dapat dilaksanakan segera jika timbul sebarang kecurigaan. Masyarakat terutamanya jiran terdekat mesti mengambil berat apa yang berlaku terhadap jiran sebelah rumah sesuai dengan semangat kejiranan yang menuntut setiap anggota masyakarat melaksanakan peranan masing-masing dengan berkesan.


Post your comment

Comments

No one has commented on this page yet.

RSS feed for comments on this page | RSS feed for all comments

Pautan   Pautan Khas Suapan Berita Pautan Sosial