‘Kecaman Terhadap Tindakan Israel’
Posted by YB Datuk Rosnah Hj. Abdul Rashid Shirlin on 1 June 2010 | 0 Comments
Pergerakan Puteri UMNO mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas dan zalim Israel menyerang kapal yang membawa misi bantuan kemanusiaan untuk penduduk Palestine sehingga menyebabkan 19 aktivis terbunuh dan ramai yang lain cedera.
Serangan itu jelas menunjukkan kebiadaban dan sikap bongkak rejim zionis itu meletakkan undang-undang di dalam genggaman tangan mereka tanpa memperdulikan peraturan antarabangsa
Puteri UMNO mendesak PBB mengadakan mesyuarat tergempar berhubung serangan tidak berperikemanusiaan ini dengan Malaysia menyuarakan bantahan keras supaya rejim zionis itu dikenakan tindakan.
Kejadian terbaru ini mesti menjadi pembuka mata kepada semua pihak betapa Israel boleh bertindak mengikut kehendak mereka termasuk 'mencabut' nyawa dan 'menghisap' darah orang Islam tanpa ada rasa belas ehsan jauh sekali mahu menggunakan fikiran sebelum bertindak kejam.
Puteri UMNO yakin dunia sejagat tanpa mengira bangsa dan agama tidak bersetuju malah marah terhadap serangan Israel itu dan inilah masanya kita bersatu hati menunjukkan kebencian terhadap rejim zionis itu dengan mengutuk kekejaman yang dilakukan oleh mereka.
Bagi umat Islam di Malaysia marilah kita bersama-sama mendoakan misi bantuan keamanan itu selamat sampai ke Palestine dan meneruskan perjuangan mereka membantu rakyat yang ditindas oleh Israel.
Marilah kita bersama-sama mengutuk dan membantah kezaliman tentera Yahudi yang tidak henti-henti menekan serta menindas penduduk Palestine.