Jentera Pemuda MIC Bersatu Padu – T Mohan
Posted by S.A Najmuddin on 19 April 2010 | 0 Comments
Hulu Selangor, 18 April – Ketua Pemuda MIC T.Mohan menafikan jenteranya di akar umbi retak sebaliknya bersatu padu untuk membantu jentera Barisan Nasional (BN) yang lain pada pilihan raya kecil P094 Parlimen Hulu Selangor 25 April ini.
Menurut beliau, desas-desus berkenaan ditimbulkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab semata-mata dengan niat untuk menunjukkan kepada masyarakat umum terutama pengundi bahawa mereka berpecah.
“Saya dah jumpa dengan Ketua Pemuda MIC Hulu Selangor, V.Mugillan bersama jentera di akar umbi yang lain dan mereka telah menyatakan komitmen untuk membantu jentera BN bagi memenangkan P.Kamalanathan pada 25 April ini.
“Justeru orang ramai diharap tidak terpengaruh dengan penyebaran fitnah tersebut dan kami sebenarnya faham, persefahaman yang jitu ini menggusarkan parti lawan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada laman webPemuda sebagai mengulas dakwaan kononnya jentera Pemuda MIC berpecah ekoran Ketua Pemuda MIC Hulu Selangor, V.Mugillan tidak dipilih menjadi calon BN.
Beliau seterusnya menambah, jentera Pemuda MIC akan bekerjasama rapat dengan jentera Pemuda parti komponen lain di bawah payung Pemuda BN dalam usaha memastikan gerakan yang bersepadu kelak.
Sumber dari pemudaumno.org.my