Islam Agama Kesejahteraan
Posted by on 11 January 2010 | 0 Comments
Tags:
Agama
Auguste Comte (1798-1857), ahli sosiologi Perancis dalam karya beliau Cours de Philosophie Positive berpendapat bahawa masyarakat (society) telah ditakdirkan mengalami perjalanan sejarah secara yang progresif. Bermula dari zaman dimana segala ruang lingkup kehidupan manusia berasaskan agama, seterusnya beralih kepada zaman berteraskan metafizik dan kemuncaknya zaman positivisme. Dalam ertikata lain, pada zaman moden ini, “religion”, sebagaimana yang diungkapkan oleh Morrison I. Swift yang berfahaman anarki bahawa “its time is up” kerana “God” telah diisytiharkan oleh ahli falsafah German Friedrich Nietzsche “is dead”. Perisytiharan ini dibuat kerana “agama” dalam sejarah peradaban Barat telah gagal menjelaskan sifat serta hakikatnya, di samping menjadi instrumen segolongan manusia untuk menekan, memeras dan mengeksploitasi golongan manusia yang lain melalui ketetapan ajaran-ajarannya.
Islam adalah al-din (agama) yang jelas hakikat diri dan sifatnya. Islam adalah agama yang universal, lengkap (kamil) serta sempurna (syumul) merentasi sempadan geografi dan perubahan zaman, diturunkan melalui wahyu kepada nabi Muhammad (s.a.w) dan diredai oleh Allah (s.w.t) untuk sekalian manusia. Firman Allah (s.w.t):
Yang bermaksud: Sesungguhnya al-din (agama yang benar dan diredai) disisi Allah ialah Islam.
[Surah Ali Imran: 19]
Secara umumnya, Islam bererti penyerahan dan kesejahteraan. Penyerahan diri manusia kepada Penciptanya ini terkandung dalam makna al-din. Al-din dari sudut bahasa merangkumi makna-makna berikut:
i) keadaan berhutang;
ii) keadaan takluk menyerah diri
iii) Kuasa dan daya menghukum;
iv) Bawaan kecenderungan yang sedia ada pada diri insan atau kebiasaan yang menjadi adat resam
Keseluruhan makna-makna ini saling berkait dalam membentuk konsep agama dalam Islam (al-din). Semestinya, hutang akan menuntut penyerahan diri si penghutang kepada peraturan dan syarat perhutangan yang berkait pula dengan nilaian, keputusan dan hukuman. Suasana ini kebiasaanya wujud dalam konteks masyarakat perniagaan dalam sesebuah bandar atau kota (madinah) yang diterajui oleh pemerintah (dayyan) yang berkuasa keatas pelaksanaan undang-undang yang berkaitrapat dengan makna takluk dan daya menghukum. Kesemua makna-makna yang terangkum dalam istilah al-din ini, menurut al-Attas, menggambarkan kehidupan beradab dan penuh ketertiban yang membangunkan tamaddun iaitu “keadaan kehidupan insan bermasyarakat yang telah mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakatnya”.
Pada peringkat individu, al-din merujuk kepada hutang kewujudan dan penciptaan manusia oleh Allah (s.w.t). Penyelesaian hutang manusia kepada Allah (s.w.t) adalah dengan menyerah diri atau kembali kepadaNya, iaitulah dengan cara beribadah atau menghambakan diri kepada Allah (s.w.t). Penyerahan sebenar adalah dalam bentuk ketaatan hamba secara reda dan tulus ikhlas menurut kaedah atau cara yang telah ditetapkan oleh Allah (s.w.t) menerusi syari’ah Muhammadiyyah sebagai syariat yang terakhir. Penyerahan ini juga sebenarnya adalah raj’ah atau pengembalian diri manusia kepada fitrahnya yang asal yang merujuk kepada perjanjian (mithaq) yang telah dibuat oleh manusia seawal sebelum kejadiannya sepertimana yang dinyatakan oleh Allah (s.w.t) dalam al-Qur’an al-Karim:
Yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (Firman-Nya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka menjawab: Benar, kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari Kiamat kelak: Sesungguhnya kami orang yang lalai tentang (hakikat tauhid) ini.
[Surah al-A’raf : 172].
Perjanjian asali dengan Allah (s.w.t) ini direalisasikan melalui penyaksian atau syahadah tentang keEsaan Allah (s.w.t) sebagai Tuhan Yang Maha Pencipta dan Yang Berhak Disembah, serta penyaksian bahawa Baginda Nabi Muhammad (s.a.w) adalah utusan Allah yang menjadi ikutan. Ketaatan manusia terhadap penyaksian ini dijanjikan ganjaran pahala, sebaliknya keingkaran manusia terhadap penyaksian ini akan mengakibat pembalasan dan siksaan dari Allah (s.w.t) Yang Maha Berkuasa. Kesimpulannya, al-din (agama) telah menentukan matlamat kehidupan secara yang jelas serta memperlihat suatu gaya dan cara berkelakuan yang harus dijelmakan pada diri insan, satu peraturan dan ketertiban yang harus dipupuk pada masyarakat, selari dan sebati dengan matlamat serta kecenderungan semulajadi manusia itu sendiri. Keselarian inilah yang membawa kesejahteraan (al-islam) pada diri dan masyarakat manusia bukan pertentangan yang membawa kehuru-haraan.
Oleh : ABSAR