Insiden Membakar Gereja
Posted by on 11 January 2010 | 0 Comments
Tags:
Semasa
Pergerakan Puteri UMNO menentang sekeras-kerasnya perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan tercetusnya insiden kebakaran di tiga gereja manakala satu lagi gereja menerima laporan ugutan di sekitar Kuala Lumpur.
Insiden keganasan seperti itu ternyata akan mencetuskan suasana tidak tenteram di kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum serta agama.
Justeru Pergerakan Puteri UMNO menggesa pihak polis menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden tersebut dan mengadapkan pihak yang bersalah ke muka pengadilan secepat mungkin. Siasatan segera juga mesti dijalankan bagi mengelak senario saling menuding jari di kalangan rakyat negara ini sehingga menimbulkan suasana saling curiga mencurigai dan tidak mustahil boleh mengheret tragedi perkauman yang lebih besar.
Puteri UMNO juga mendesak siasatan dijalankan dengan memberi lebih tumpuan kepada kemungkinan ada pihak mengambil kesempatan keputusan mahkamah berhubung isu penggunaan kalimah Allah baru-baru ini untuk menimbulkan suasana huru-hara di negara ini.
Ini kerana tidak mustahil ada pihak yang mencemburui keharmonian kaum di negara ini dan mahu melemahkan perpaduan yang telah terjalin di kalangan rakyat dengan menggunakan keputusan mahkamah sebagai `laluan’ memudahkan `kerja-kerja’ mereka.
Strategi sedemikian membolehkan konflik perkauman tercetus apabila timbulnya kemarahan di kalangan penganut Kristian apabila tempat ibadat mereka dibakar yang akan mendorong kepada tanggapan bahawa perbuatan seumpama itu dilakukan oleh orang Islam.
Pergerakan Puteri UMNO juga meminta rakyat terutama generasi muda supaya tidak mengikut perasaan dan kepercayaan melulu sehingga mendorong mereka bertindak di luar batasan undang-undang.
Serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan masalah tersebut dan penglibatan melepasi batasan undang-undang termasuk mengadakan perhimpunan hanya akan memburukkan keadaan dan mencetuskan ketegangan.