Pengumuman 


Ibu bapa, masyarakat bantu tangani gejala buang bayi

Posted by Admin on 17 August 2010 | 0 Comments

SHAH ALAM - Keputusan Kabinet mengarahkan kes buang bayi disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan adalah wajar tetapi belum tentu dapat mengurangkan gejala itu secara berterusan. 

Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, gejala buang bayi akan terus berleluasa sekiranya ibu bapa dan masyarakat tidak memainkan peranan masing-masing dengan berkesan. 

Beliau berkata, sebagai contoh, hukuman mati mandatori kepada penyalahgunaan dadah juga kurang efektif, malah kes itu dilihat semakin berleluasa. 

“Perkembangan itu jelas menunjukkan bahawa undang-undang tanpa kesedaran dan peranan semua pihak tidak akan membantu menyelesaikan masalah yang ada di hadapan kita semua. 

“Sehubungan itu, ibu bapa perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya 10 minit dalam sehari untuk berkomunikasi dengan anak masing-masing bagi memastikan mereka tidak melakukan perkara di luar dugaan,” katanya, semalam. 

Beliau berkata, sekiranya anak-anak telah terlanjur, tindakan secara bijak sekurang-kurangnya dapat memastikan nyawa bayi yang bakal dilahirkan itu tidak berakhir di dalam tong sampah. 

“Selain memastikan anak-anak tidak melakukan perkara di luar dugaan, komunikasi singkat selama 10 minit juga dapat mengesan sebarang perubahan tingkah laku dan perubahan fizikal yang berlaku termasuklah kehamilan mereka. 

“Kebanyakan remaja yang terlanjur dan hamil takut dimarahi ibu bapa sehingga sanggup menyembunyikan kehamilan mereka dengan memakai pakaian longgar selain mengurangkan masa dengan keluarga,” katanya. 

Rosnah berkata, jika ibu bapa sentiasa prihatin dan mengambil berat setiap perubahan yang berlaku kepada anak masing-masing termasuk melakukan pemeriksaan fizikal, ianya dapat membantu mengurangkan jenayah buang bayi. 

“Bagi anak-anak yang tidak tinggal bersama ibu bapa, menjadi tanggungjawab ibu bapa pergi ke tempat tinggal dan mengikuti perkembangan mereka untuk mengelak berlakunya perkara tidak diingini,” katanya

Sumber dari sinarharian.com.my


Post your comment

Comments

No one has commented on this page yet.

RSS feed for comments on this page | RSS feed for all comments

Pautan   Pautan Khas Suapan Berita Pautan Sosial