Hukuman mesti dilaksana dengan berkesan
Posted by utusan on 16 November 2009 | 0 Comments
Tags:
Hukuman secara berkesan
KUALA LUMPUR 15 Nov. - Pergerakan Puteri UMNO mahu keputusan kerajaan melaksanakan khidmat masyarakat kepada pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dilaksanakan secara serius.
Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, langkah itu penting bagi memberi kesedaran kepada generasi muda tentang usaha kerajaan untuk mendidik mereka menjadi insan berguna kepada negara.
Katanya, jumlah pelatih yang gagal melaporkan diri untuk menyertai program tersebut sejak ia diperkenalkan pada 2003 adalah tinggi, justeru kumpulan tersebut harus dikenakan hukuman yang sewajarnya.
''Sememangnya keputusan kerajaan untuk menguatkuasakan pindaan Akta Latihan Khidmat Negara menunjukkan umpama memberi kata dua kepada bakal pelatih PLKN supaya memandang serius program tersebut.
''Usaha kerajaan mahu mendidik generasi muda mesti dipandang serius oleh generasi muda kerana manfaatnya adalah untuk menambah baik pengurusan diri mereka dan membentuk jati diri yang kukuh,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan mengulas kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Abdul Hadi Awang Kechil semalam mengenai pelaksanaan hukuman khidmat masyarakat kepada pelatih PLKN yang ingkar bermula bagi kemasukan pelatih kumpulan 1 2010.
Seramai 6,804 pelatih gagal melaporkan diri sepanjang hampir tujuh tahun program tersebut dilaksanakan atas pelbagai alasan termasuk ada yang diberi pengecualian atas sebab kesihatan.
Mengulas lanjut Rosnah berkata, apa yang lebih penting pihak JLKN memastikan pelaksanaan hukuman khidmat masyarakat itu dijalankan dengan berkesan.
Ini kerana, katanya, amalan sebelum ini yang mengenakan hukuman denda dan penjara kepada pelatih yang ingkar tidak dilaksanakan sebaik mungkin sehingga ada remaja yang dipanggil enggan melaporkan diri kerana mengetahui tiada tindakan dikenakan ke atas mereka.
Ahli Parlimen Papar itu berkata, bentuk aktiviti khidmat masyarakat yang akan dilaksanakan kelak juga mesti membawa nilai yang signifikan kepada pelatih ingkar supaya timbul rasa tanggungjawab di kalangan mereka untuk menyertai program yang diperkenalkan kerajaan.
Katanya, kebanyakan generasi muda kini memandang ringan program-program yang dirangka oleh kerajaan untuk mereka menyebabkan usaha tersebut gagal mendatangkan hasil seperti yang diharapkan.
Source: Utusan