Pengumuman 


Hukuman Mati Mandatori Keatas Pesalah Kes Jenayah Buang Bayi

Posted by YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin on 17 August 2010 | 0 Comments

Pergerakan Puteri UMNO menggesa ibu bapa memperuntukkan sekurang-kurangnya 10 minit sehari untuk berkomunikasi dan mengambil tahu tentang kegiatan anak masing-masing supaya mereka dapat mengesan sebarang perubahan tingkah laku dan mungkin juga perubahan fizikal yang berlaku.

 

Puteri UMNO percaya dengan cara itu ibu bapa dapat mengesan lebih awal apa yang berlaku terhadap anak masing-masing termasuk jika mereka hamil supaya tindakan sewajarnya dapat dilaksanakan secepat mungkin. Kebanyakan remaja yang terlanjur dan hamil takut dimarahi ibu bapa sehingga sanggup menyembunyikan kehamilan mereka dengan memakai pakaian longgar selain mengurangkan masa dengan keluarga.

 

Keadaan itu sukar disembunyikan jika ibu bapa sentiasa prihatin dan mengambil berat setiap perubahan yang berlaku pada anak masing-masing termasuk melakukan pemeriksaan fizikal yang akhirnya membantu mengurangkan jenayah buang bayi yang semakin berleluasa kebelakangan ini. Jika ibu bapa dapat mengesan sebarang perubahan maka anak tersebut boleh dibimbing supaya tidak bertindak membuang bayi tersebut semata-mata untuk menutup malu kepada masyarakat atau menutup rasa takut kepada ibu bapa.

 

Sangat jelas, kejadian buang bayi didorong oleh rasa takut si pelaku kepada ibu bapa atau masyarakat berbanding rasa takut kepada Allah SWT sebab itu mereka yang terlibat tergamak melakukan dosa yang amat besar itu dan ia boleh dibendung jika ibu bapa mengetahui apa sebenarnya yang dilakukan oleh anak masing-masing. Bagi anak-anak yang tidak tinggal bersama ibu bapa, maka adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk pergi ke tempat tinggal anak mereka dan sentiasa mengikuti perkembangan anak-anak untuk mengelak berlakunya perkara yang tidak diingini. Mungkin ada ibu bapa yang menganggap saranan Puteri UMNO ini sebagai remeh tetapi 10 minit yang diperuntukkan adalah lebih bernilai daripada menanggung kesan yang lebih parah di kemudian hari.

 

Puteri UMNO sememangnya mengalu-alukan keputusan Kabinet mengarahkan kes buang bayi disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori dan Sekyen 307 penjara sehingga 20 tahun tetapi keputusan tersebut belum tentu dapat mengurangkan kes buang bayi jika ibu bapa dan masyarakat tidak memainkan peranan masing-masing dengan berkesan.

 

Hukuman mati mandatori untuk kes penyalahgunaan dadah misalnya jelas tidak mengurangkan langsung kes-kes pengedaran dadah malah semakin banyak kes dilaporkan berlaku sehingga menjadikan dadah musuh nombor satu. Perkembangan itu jelas menunjukkan bahawa undang-undang tanpa kesedaranserta peranan semua pihak yang terlibat tidak akan membantu menyelesaikan masalah yang ada di hadapan kita semua sekarang ini.

 

Justeru, Pergerakan Puteri UMNO percaya cadangan serta gesaan supaya ibu bapa memperuntukkan sekurang-kurangnya 10 minit sehari untuk berkomunikasi dengan anak masing-masing untuk memastikan mereka tidak melakukan perkara yang di luar dugaan. Dan jika pun anak-anak mereka telah terlanjur maka bertindaklah secara bijak sekurang-kurangnya dapat memastikan nyawa bayi yang bakal dilahirkan itu tidak berakhir di tong sampah.


Post your comment

Comments

No one has commented on this page yet.

RSS feed for comments on this page | RSS feed for all comments

Pautan   Pautan Khas Suapan Berita Pautan Sosial