Pengumuman 

Selamat Hari Jururawat Sedunia, Hari iBU dan Hari Guru 2012

Hadir Azmin Dalam Terpaksa?

Posted by En. Kazman Kamal on 19 April 2010 | 0 Comments

Hulu Selangor, 17 April – Kehadiran Naib Presiden PKR, Azmin Ali bersama kepimpinan PKR yang lain pada proses penamaan calon hari ini hanyalah untuk menutup pertelagahan yang didakwa berlaku di akar umbi terhadap pemilihan Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon PKR.

Perkara ini didedahkan oleh Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin yang mendakwa Azmin diarahkan hadir oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dakwa Khairy lagi, beliau difahamkan, Azmin sememangnya tidak mahu hadir pada hari ini, namun bertukar fikiran setelah dipaksa oleh Anwar.

”Kehadiran Azmin ini semata-mata nak tunjukkan mereka bersatu, tetapi di bawah (peringkat akar umbi) tidak begitu, kita terima banyak maklumat bahawa segelintir penyokong mereka masih tidak berpuas hati dan kita juga difahamkan bahawa anak-anak muda yang menyertai PKR sudah memohon untuk menyertai UMNO.

”Jadi kita masih menunggu maklumat terperinci berapa ramai yang mahu meninggalkan PKR  dan berapa ramai yang mahu menyertai UMNO. Semua ini berpunca daripada pemilihan calon yang bukan anak tempatan dan menyebabkan kumpulan penyokong Azmin tidak puas hati,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada laman webPemuda ketika ditemui pada proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil P094 Parlimen Hulu Selangor, di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Pejabat Daerah Hulu Selangor di Kuala Kubu Baru, di sini, hari ini.

Khairy yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO seterusnya menambah, hakikat berkenaan sebenarnya dapat dilihat pada hari pengumuman calon PKR baru-baru ini lagi yang mana Azmin tidak bersama kepimpinan lain pada hari tersebut.

”Pada hari pengumuman calon itu, Azmin jelas tidak bersama kepimpinan mereka yang lain dan kehadiran beliau pada hari ini sudah terang lagi bersuluh hanyalah untuk menunjukkan mereka bersatu sedangkan hakikat yang sebenar adalah sebaliknya,” katanya.

Sumber dari pemudaumno.org.my


Post your comment

Comments

No one has commented on this page yet.

RSS feed for comments on this page | RSS feed for all comments

Pautan   Pautan Khas Suapan Berita Pautan Sosial