Pengumuman 


Guaman

Posted by Admin on | 0 Comments

Tags:

 

1. Apakah dokumen yang perlu dikemukakan apabila mendaftarkan sesuatu kes di mahkamah syariah?

 

Terdapat beberapa prosedur yang perlu diikuti apabila mendaftarkan kes mal di mahkamah syariah. Prosedur tersebut ialah : Setiap pendaftaran kes hendaklah diserahkan sendiri oleh pemohon atau wakilnya kepada Ketua Pendaftar atau Pendaftar atau Penolong Pendaftar.

   i. Tiap-tiap dokumen pendaftaran kes hendaklah dikemukakan dalam 4 salinan.

   ii. Pendaftaran Kes Permohonan hendaklah disertakan:

        (a) Notis Permohonan

         (b) Afidavit Sokongan

         (c) Eksibit-eksibit (jika berkaitan, contohnya salinan sijil Nikah, sijil lahir dan lain-lain.

         (d) Fi yang secukupnya.

         (e) Wakalah Peguam Syarie bagi yang menggunakan khidmat Peguam Syarie.

          (f) Surat rujukan daripada Pendaftar Nikah Daerah kepada Hakim Syarie bagi permohonan wali am, perkahwinan bawah umur dan pengesahan janda berhias.

   iii. Pendaftaran Kes Tuntutan hendaklah disertakan:

        (a) Saman.

         (b) Penyata Tuntutan.

         (c) Ikatan Dokumen (jika berkaitan).

         (d) Wang Pendaftaran secukupnya.

         (e) Wakalah Peguam Syarie yang menggunakan khidmat Peguam Syarie.

   iv.  Pendaftaran yang lengkap dan mengikut undang-undang sahaja yang akan diterima.

Syarat-syarat pelanggan : Semua orang Islam yang berkahwin secara sah mengikut Hukum Syarak dan bermastautin di dalam sesuatu negeri boleh mendaftarkan permohonan atau tuntutan di mana-mana Mahkamah Syariah di tempat dia bermastautin. Nota: Pendaftaran kes boleh dibuat sendiri oleh pemohon atau melalui khidmat Peguam Syarie bagi yang berkemampuan atau bagi yang berpendapatan rendah melalui Biro Bantuan Guaman.

 

2. Apakah perbezaan antara Tuntutan dan Permohonan dalam pendaftaran kes Mal?

 

TUNTUTAN ialah tiap-tiap tindakan atau prosiding kes Mal yang dimulakan dengan saman beserta penyata tuntutan. PERMOHONAN ialah tiap-tiap tindakan atau prosiding kes Mal yang dimulakan dengan notis permohonan beserta affidavit sokongan.

 

3. Boleh saya tahu berapa sebenarnya bayaran untuk pendaftaran sesuatu kes?

Anda boleh merujuk JADUAL KEDUA ENAKMEN PENTADBIRAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM 1986- KAEDAH-KAEDAH PENTADBIRAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM (BORANG DAN FEE) 1987.

4. Bilakah tarikh bicara ditetapkan selepas pendaftaran sesuatu kes dibuat?

Mengikut ISO 9001:2000, kes-kes yang telah didaftarkan mestilah diberi tarikh sebutan dalam masa 21 hari dari tarikh pendaftaran. Sekiranya pihak-pihak hadir pada hari sebutan, maka mahkamah akan meletakkan tarikh bicara.

 

5. Bolehkah saya membuat permohonan di mana-mana Mahkamah Syariah?

 Tidak. Untuk makluman Puan, di bawah Perlembagaan Persekutuan Jadual Kesembilan Senarai 2 (Senarai Negeri) Undang-undang Syariah adalah tertakluk kepada bidangkuasa Negeri-negeri. Oleh yang demikian, sekiranya Puan bermastautin di negeri Terengganu, Puan bolehlah mengemukakan apa-apa permohonan atau tuntutan di mana-mana Mahkamah Rendah Syariah Daerah di tempat Puan bermastautin. Manakala bagi kes-kes di bawah bidangkuasa Mahkamah Tinggi, Puan perlulah memfailkan apa-apa permohonan atau tuntutan di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu.

 

 

 

6. Bolehkah saya mewakilkan orang lain untuk mendaftarkan kes saya?

Sebelum sesuatu pendaftaran dilakukan, Pemohon atau Peguam Syarie yang mewakili Pemohon perlu mengikrarkan Afidavit di hadapan Pendaftar. Oleh yang demikian, pendaftaran sesuatu kes hendaklah dibuat oleh Pemohon sendiri atau melalui khidmat Peguam Syarie bagi yang berkemampuan atau bagi yang berpendapatan rendah melalui Biro Bantuan Guaman.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

ARKIB : 27/06/2008, SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

Rujuk tidak perlu persetujuan isteri

SOALAN:
Saya telah bercerai setahun yang lalu tetapi masih belum mendaftarkan penceraian tersebut. Dalam tempoh idah saya dan bekas suami pernah 'tidur bersama' beberapa kali.

Dalam tempoh idah juga bekas suami pernah berkata bahawa "saya milik beliau dan jom kita rujuk balik", tetapi pada masa itu saya tidak mahu rujuk. Selepas habis tempoh idah hingga sekarang pun kami tidak lagi memfailkan penceraian. Adakah kami masih suami isteri?

JAWAPAN:
SEPERTI mana kuasa talak diberikan kepada si suami begitu jugalah kuasa rujuk diberikan kepada mereka. Para ulama sependapat bahawa suami yang melakukan rujuk mempunyai keahlian untuk berkahwin, tidak termasuk mereka yang gila atau mabuk.

Ini kerana hukum rujuk ialah hukum perkahwinan dan wali berhak merujuk seseorang isteri bagi pihak suami yang gila atau seumpamanya, rujuk demi menjaga kepentingan mereka yang di bawah jagaannya.

Rujuk dari segi bahasa bererti kembali. Dari segi syarak pula ialah mengembalikan isteri kepada nikah dalam waktu idah yang bukan talak bain.

Rujuk adalah hak yang diberi oleh Islam kepada bekas suami untuk melanjutkan ikatan perkahwinannya dengan bekas isteri yang diceraikannya sebelum habis waktu idah isteri.

Antara dalil keharusan rujuk, firman Allah SWT yang bermaksud: Maka apabila mereka telah mendekati akhir idah, rujuklah mereka dengan cara yang makruf (baik) atau ceraikan mereka dengan cara yang makruf (baik). (at-Talaq :2)

Rukun rujuk ada tiga perkara:

1. Sighah iaitu lafaz yang menunjukkan kembali kepada isteri sama ada secara sarih (terang) mahupun kinayah (kiasan).

2. Mutarji' iaitu suami yang ingin merujuk isteri yang diceraikannya dengan talak bain.

3. Isteri iaitu perempuan yang telah dinikahi dengan nikah yang sah.

Syarat-syaratnya:

1. Suami:

a) Hendaklah seorang yang berakal.

b) Baligh.

c) Dengan kehendak dan kerelaan sendiri bukan paksaan daripada sesiapa.

d) Tidak murtad.

2. Isteri:

a) Hendaklah yang sudah dicampuri.

b) Mestilah yang diceraikan dengan talak raj'ie. Bukan dengan perceraian secara fasakh, khuluk dan juga talak tiga.

c) Hendaklah ditentukan orangnya jika suami berkahwin lebih daripada satu dan telah menceraikan beberapa orang isterinya.

3. Hendaklah tidak dihadkan kepada sesuatu masa dan waktu. Tidak sah rujuk dalam masa yang tertentu sahaja.

4. Tidak bergantung kepada sesuatu syarat. Rujuk disyariatkan adalah bertujuan untuk membolehkan suami isteri yang telah bercerai dengan talak raj'ie meneruskan kembali ikatan perkahwinan mereka yang telah terputus dengan syarat isteri masih lagi dalam idah. Tetapi perlu diingat bahawa rujuk hendaklah dengan tujuan berdamai bukan kerana ingin menyakiti, menganiaya isteri dan sebagainya.

Terdapat beberapa keadaan yang diharamkan untuk berkahwin tetapi dihalalkan untuk rujuk:

1. Semasa berihram, sama ada suami ataupun isteri. Diharamkan melakukan akad semasa berihram, tetapi dihalalkan melakukan rujuk. Ini kerana rujuk ialah mengembalikan ikatan perkahwinan yang sedia ada.

2. Seseorang hamba, tidak perlu mendapat keizinan tuannya untuk merujuk isterinya kerana keizinan diperoleh untuk berkahwin. Ini bererti keizinan yang sama untuk merujuk juga telah diperoleh kerana isteri dalam idah masih lagi hukum isterinya.

3. Suami dalam keadaan sakit tenat diharuskan merujuk isterinya, sedangkan dilarang melakukan akad dalam keadaan demikian kerana perkahwinan menyebabkan pesaka. Jika berlaku kematian, walaupun dalam idah, mereka berhak mendapatkan pesaka.

4. Suami yang bodoh diharuskan merujuk isterinya, sedangkan dilarang melakukan akad perkahwinan, begitu juga seseorang boros.

Ulama fikah telah meletakkan syarat kepada isteri yang hendak dirujuk.

1. Isteri yang berada dalam idah raj'ie dan pernah melakukan persetubuhan yang sebenar pada perkahwinan yang sah sebelum bercerai.

2. Mengikut satu riwayat dalam mazhab al-Syafieyyah, sekiranya isteri tidak disetubuhi selepas akad yang sah maka suami tidak boleh merujuknya. Manakala dengan terhasilnya persetubuhan selepas akad yang sah sahaja boleh dirujuk oleh si suami.

Ulama juga mensyaratkan bahawa dalam rujuk:

1. Tidak disyaratkan mendapat persetujuan isteri atau walinya atau tuan bagi seseorang hamba untuk merujuk. Bahkan ada pendapat yang mengatakan tidak perlu memberitahu isteri yang dirujuk.

2. Tidak perlukan saksi ketika melakukan rujuk isterinya. Melainkan jika perlu, tetapi ia tidak syarat.

3. Rujuk tidak boleh dilakukan dengan lafaz taklik, contohnya si suami ketika merujuk isterinya berkata: "Aku merujuk kamu jika kamu bersetuju....".

4. Rujuk boleh dilakukan dalam apa bahasa sekalipun asalkan perkataan yang digunakan itu faham dan membawa maksud rujuk.

5. Suami yang bisu boleh merujuk isterinya dengan isyarat yang boleh difahami erti rujuk dan juga boleh dilakukan dengan tulisan.

Di dalam Enakmen undang-undang pentadbiran keluarga Islam 1985 12/1985, Bahagian Pembubaran perkahwinan. Dalam perkara yang ke "(9) Jika selepas talak raj'ie suami melafazkan rujuk tetapi isteri telah tidak bersetuju terhadap rujuk itu kerana sebab-sebab yang dibenarkan oleh hukum syarak, dia tidak boleh diperintah oleh mahkamah supaya hidup semula sebagai suami isteri, tetapi mahkamah hendaklah melantik suatu jawatankuasa pendamai sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 44 dan seksyen itu hendaklah dipakai sewajarnya"

Maksudnya, puan adalah isteri yang sah, kerana suami sudah merujuk dengan perbuatan iaitu dengan persetubuhan. Serta lafaz "saya milik beliau dan jom kita rujuk balik". Itu sudah jelas suami rujuk.

Walaupun dalam rujuk, si suami tidak perlukan persetujuan isterinya, namun isteri mempunyai hak untuk tidak menerima sekiranya dia tidak berasa aman dengan kehidupan bersama suaminya ini jelas seperti mana tertera dalam Enakmen undang-undang pentadbiran keluarga Islam 1985 12/1985, Bahagian Pembubaran perkahwinan.

Cuma pastikan perceraian itu didaftar serta rujuk juga didaftar di Pejabat Agama Daerah untuk kesejahteraan bersama. Perbuatan tidak mendaftar adalah satu kesalahan. Nasihat saya dapatkan nasihat di Pejabat Agama berdekatan untuk tindakan selanjutnya.

 

 

 


Pautan   Pautan Khas Suapan Berita Pautan Sosial