Bongkar Identiti Penulis Blog Fitnah
Posted by admin on 15 October 2009 | 0 Comments
KUALA LUMPUR 14 Okt. - Pergerakan Puteri UMNO mahukan identiti penulis-penulis blog yang ‘ligat’ menabur fitnah dibongkar dan dikenakan tindakan undang-undang.
Wakil Puteri UMNO Kedah, Norashimah Md Nowar menyifatkan penulis blog demikian sebagai penulis karat.
“Fitnah siber ini menimbulkan pelbagai implikasi negatif terhadap kehidupan masyarakat hari ini.
“Telah berlaku pelbagai perkara yang mengaibkan, malah terdapat penyebaran gambar ‘super impose’, 18SX dan gambar-gambar dot dot dot, nak sebut pun malu,” katanya.
Beliau berkata demikian membahaskan usul ucapan dasar Ketua Puteri UMNO pada Persidangan Perwakilan pergerakan itu di sini hari ini.
Sehubungan itu, Norashimah mencadangkan agar UMNO menubuhkan satu suruhanjaya khas siber untuk memantau semua laman blog dan web secara lebih serius agar gejala fitnah siber dapat dibendung.
Jelas beliau, penulis blog yang menyembunyikan identiti mereka sukar dikesan penyokong parti mana tetapi adakalanya daripada UMNO sendiri.
“Sepatutnya ruang siber dan laman blog digunakan untuk menangkis serangan pihak pembangkang dan dakyah parti lawan, tetapi dalam sibuk kiat berkempen dan berperang siber, kini muncul dajal perosak bangsa.
“Daripada cara penulisan, ayat dan gaya bercerita, kita tidak pasti identiti penulis karat ini, siapa mereka,” katanya.