Anwar Khianati Kawan
Posted by YB Datuk Rosnah Bt Hj. Abd Rashid Shirlin on 6 May 2010 | 0 Comments
TULISAN Rachel Moote dalam The New Ledger, sebuah penerbitan Internet di Amerika Syarikat jelas menunjukkan betapa dunia turut mengetahui siapa sebenarnya Datuk Seri Anwar Ibrahim terutama dalam konteks hubungannya dengan Israel.
Pergerakan Puteri UMNO percaya banyak lagi pihak akan tampil mendedahkan pelbagai maklumat mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sanggup berbuat apa sahaja untuk menghalalkan matlamatnya untuk menjadi Perdana Menteri tanpa memikirkan strategi beliau itu akhirnya menjadi umpama senjata makan tuan sendiri.
Ternyata tulisan bertajuk The Reversal of Anwar Ibrahim itu menunjukkan sikap sebenar Anwar yang sarat dengan kepura-puraan dan berselindung di sebalik imej seorang Islam yang baik dan bermoral semata-mata untuk menagih simpati Barat dan mengelirukan dunia termasuk kalangan pemimpin Yahudi sendiri.
Lebih menyedihkan apabila ada pihak-pihak di Malaysia yang berjaya ditipu oleh Anwar apabila beliau menuduh kerajaan menggunakan khidmat firma perhubungan awam pro-Israel - APCO Worldwide dan kononnya Polis DIraja Malaysia menggunakan khidmat bekas ejen Israel dalam projek berkaitan pengurusan maklumat dan komunikasi.
Ternyata tuduhan beliau itu mempunyai matlamat yang sangat buruk dan jahat supaya kerajaan Malaysia dilihat menjalin hubungan dengan Israel sekaligus cuba mengelabukan mata rakyat negara ini tentang hubungan istimewa yang telah lama terjalin antara beliau dengan pemimpin-pemimpin Yahudi.
Puteri UMNO kesal dengan sikap bermuka-muka Anwar sehingga sanggup mempermain-mainkan rakyat negara ini apabila beliau cuba berlagak sebagai anti-Amerika dan anti-Yahudi tetapi hakikatnya apa yang beliau lakukan adalah bertentangan sama sekali.
Anwar juga cuba melaga-lagakan kepercayaan politik antarabangsa rakyat negara ini apabila melaungkan sikap anti-Yahudi dengan bertindak cuba menjuarai isu-isu yang berkaitan serta membesar-besarkan pembohongan kononnnya beliau memperjuangkan hak serta nasib rakyat sedangkan segala pergerakannya berlandaskan kepada kepentingan sendiri.
Sehubungan itu, Puteri UMNO menggesa rakyat secara keseluruhannya dan pemimpin-pemimpin Pas yang menyanjung tinggi Anwar supaya membuka mata seluas-luasnya dan membuat pertimbangan yang bijak dalam menentukan siapa sebenarnya Anwar sebelum negara ini tergadai ke pihak yang tidak bertanggungjawab.
Puteri UMNO juga berharap lebih banyak pihak tampil dengan pendedahan-pendedahan berani supaya rakyat dapat menilai sejauh mana keikhlasan perjuangan Anwar, dan sejauh mana beliau mampu menjadi pemimpin yang benar-benar akan memperjuangkan agenda rakyat dan pada masa yang sama berusaha membangunkan negara serta menjaga keharmonian kaum di negara ini.