Pengumuman 

Selamat Hari Jururawat Sedunia, Hari iBU dan Hari Guru 2012

Anak Samy Tuduh UMNO

Posted by YB Datuk Rosnah Binti Hj. Abdul Rashid Shirlin on 25 May 2010 | 0 Comments

TUDUHAN S. VELL PAARI iaitu anak kepada Datuk Seri S. Samy Vellu kononnya UMNO menggunakan pembunuhan politik (political assassin) untuk memecah-belahkan parti komponen Barisan Nasional (BN) merupakan kenyataan yang amat tidak bertanggungjawab dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

 Begitu juga dengan dakwaan beliau yang menyatakan bahawa ketidaksamarataan menyebabkan kaum Cina dan India tidak memilih BN pada pilihan raya lalu dan bukannya disebabkan oleh soal kepimpinan dalam parti MCA dan MIC seperti yang hangat diperkatakan kebelakangan ini.

 Pergerakan Puteri UMNO merasakan wujud satu trend yang amat jelas di kalangan parti-parti komponen BN yang cenderung untuk menutup kelemahan serta kesalahan mereka dengan meletakkan faktor kekalahan atau kehilangan sokongan ke atas bahu kerajaan yang dipimpin oleh BN. Dalam hal ini pemimpin MIC langsung tidak mahu mengakui kelemahan mereka sebaliknya cuba menuding jari kepada pihak lain dengan harapan boleh terus menerajui kepimpinan parti.

 Barisan kepimpinan MIC juga tidak mahu memperbaiki kelemahan yang ada sebaliknya terus-terusan menyalahkan pihak lain terutamanya UMNO sebagai punca parti komponen itu lemah dan gagal mendapat sokongan kaum sendiri. Sedangkan amat nyata dalam piihan raya umum ke-12 dua tahun lalu, Datuk Seri S. Samy Vellu telah ditolak oleh rakyat termasuk masyarakat India sendiri. 

 Perkembangan terbaru dalam MIC juga menunjukkan sikap ala `diktator' pemimpin parti itu yang langsung tidak boleh ditegur dan sesiapa sahaja yang berbuat demikian akan dipecat. Bukankah sikap seumpama itu menunjukkan pemimpin yang lemah, tidak boleh menerima teguran dan menganggap diri mereka sahaja yang betul - di mana pemimpin yang mempunyai ciri sedemikian sepatutnya meletakkan jawatan dan berundur daripada parti secepat mungkin. Ini kerana pemimpin yang mempunyai kredibiliti sepatutnya tidak cepat melatah dan bersikap profesional dalam menerima teguran atau kritikan.

 Puteri UMNO juga percaya kenyataan Paari `adalah sesuatu yang berbahaya jika `orang luar' terlibat (dalam urusan parti komponen) merujuk kepada UMNO secara khusus sedangkan adalah jelas tiada campurtangan UMNO dalam kemelut dalaman MIC dan perkara itu sememangnya diketahui umum.

 Paari juga sepatutnya menarik balik setiap kenyataannya yang mengaitkan UMNO sebagai sebuah parti yang mendominasi setiap keputusan termasuk yang melibatkan komponen BN terutamanya MIC dan MCA sedangkan kedua-dua parti itu sendiri tahu pergolakan yang berlaku di kalangan mereka. Malah Puteri UMNO juga mahu anak kepada Datuk Seri S. Samy Vellu berhenti membuat kenyataan secara semberono semata-mata untuk mewajarkan tindakan bapanya memecat anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu semata-mata kerana desakan supaya beliau melepaskan jawatan.

 Sudah tiba masanya parti-parti komponen BN bermuhasabah dan menilai prestasi masing-masing dan memperbaiki kelemahan yang ada, bukannya menyalahkan pihak lain setiap kali ada masalah yang timbul terutama melibatkan gesaan supaya pucuk kepimpinan meletakkan jawatan. Pemimpin parti komponen termasuk UMNO sendiri mesti tahu kedudukan masing-masing sama ada diterima atau ditolak oleh anggota parti. 



Post your comment

Comments

No one has commented on this page yet.

RSS feed for comments on this page | RSS feed for all comments

Pautan   Pautan Khas Suapan Berita Pautan Sosial