Ambil Semangat Merdeka, Kukuhkan Perpaduan Negara – Rosnah
Posted by on 29 July 2011 | 0 Comments
KUALA LUMPUR, 29 Julai – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin berkata, semua rakyat Malaysia harus merenung dan mengambil semangat kemerdekaan ke-54 yang bakal disambut tidak lama lagi dengan bermuhasabah diri.
Jelasnya setelah 54 tahun merdeka, negara Malaysia telah menghadapi pelbagai dugaan dunia politik namun masih mampu mengekalkan suasana aman dan damai serta rakyatnya hidup dalam harmoni.
Katanya, suasana negara yang semakin berkembang maju menjadikan rakyat mampu menikmati pelbagai kemudahan dan ini patut menjadi pendorong kepada genarasi muda agar jangan leka dalam tanggungjawab mengekalkan status kemerdekaan yang diperjuangkan barisan pemimpin terdahulu.
“Generasi muda mesti memupuk semangat sayangkan negara dan melaksanakan pelbagai usaha untuk mengekalkan kehidupan harmoni penduduk pelbagai kaum yang menjadi asas penting ke arah menjamin kesejahteraan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk.
“Walaupun terdapat pelbagai usaha terancang yang mahu memporak-perandakan negara, menjatuhkan pemimpin sedia ada, seluruh rakyat Malaysia terutama golongan muda harus mengukuhkan jati diri, bersatu hati dan saling percaya mempercayai dalam menolak setiap anasir yang mahu merosakkan kesejahteraan dan keharmonian negara serta mahu memecahkan perpaduan di kalangan kita semua,” ujarnya.
Beliau yang juga merupakan Timbalan Menteri Kesihatan, harus diakui bahawa Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri telah meneruskan legasi kempimpinan yang terbaik demi rakyat.
“Oleh itu saya tidak nampak mengapa kita perlu menyokong mana-mana pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan BN. Sekiranya kita mahu pembangkang menerajui negara menggantikan kerajaan sedia ada, mampukah mereka mentadbir negara sebaik BN lakukan.
“Lihat sahaja apa yang terjadi kepada negeri-negeri di bawah pimpinan mereka sejak mereka peroleh kuasa. Nasib rakyat semakin terhimpit dan mereka hanya pandai menabur janji kosong. Sehubungan itu, sempena hari merdeka yang bakal menjelang, marilah kita bersama-sama bersatu hati menghargai apa yang telah kita perolehi sebagai rakyat Negara ini.
“Saya percaya kerajaan sentiasa menambah baik setiap kekurangan bagi menyempurnakan tanggungjawab sebagai pemimpin yang telah diamanahkan oleh rakyat untuk memimpin negara ini. UMNO dan BN tidak pernah jemu berkhidmat menabur bakti untuk rakyat seterusnya memajukan negara di peringkat antarabangsa,” katanya lagi.
Sumbangan Dari UMNO-Online