Amaran Puteri Kepada Chua Soi Lek
Posted by Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin on 17 August 2010 | 0 Comments
Kenyataan Presiden MCA, Datuk Dr. Chua Soi Lek bahawa beliau tidak takut berkongsi pandangan dengan DAP dalam hal yang memberi keuntungan kepada kaum Cina harus membuka mata orang Melayu yang selama ini tidak mahu bersatu atas nama apa sekali pun.
Ketegasan Datuk Dr. Chua Soi Lek menyatakan pendiriannya itu selain mengemukakan pelbagai tuntutan untuk kepentingan kaum Cina jelas menunjukkan betapa parti itu tidak menghormati semangat perpaduan serta persetujuan yang telah dimeterai di bawah parti induk Barisan Nasional. Lebih daripada itu, MCA semakin berani mengetepikan ketetapan Perlembagaan yang telah memperuntukkan hak bumiputera dan bukan bumiputera di negara ini dengan mengemukakan pelbagai tuntutan sehingga menimbulkan rasa serba salah di pihak kerajaan sendiri.
Lebih-lebih lagi apabila Dr. Chua Soi Lek menyentuh tentang kesanggupan MCA untuk berkongsi pandangan dengan DAP dalam hal yang memberi keuntungan kepada kaum Cina menunjukkan cubaan yang sangat jelas pemimpin tersebut mahu memperjuangkan tuntutan kaum Cina sehingga terlupa perkara-perkara yang telah dipersetujui selama ini.
Pergerakan Puteri UMNO kesal lantaran setiap kali orang Melayu memperkatakan tentang hak yang telah ditetapkan di sisi Perlembagaan maka orang Melayu akan dikatakan perkauman atau racist manakala kaum-kaum lain bebas melaung-laungkan tuntutan mereka atas alasan itu adalah hak yang mesti diperjuangkan dan tidak racist.
Sehubungan itu, orang Melayu mesti membuka mata melihat bagaimana kaum-kaum lain sanggup bersatu hati memperjuangkan tuntutan mereka sebaliknya orang Melayu sendiri tidak pernah kisah tentang perpaduan malah sanggup bekerjasama dengan kaum lain kononnya atas nama perjuangan politik.
Perkembangan terbaru ini jika tidak diteladani oleh orang Melayu maka kedudukan orang Melayu biar pun terjamin di sisi Perlembagaan namun akhirnya akan tersisih kerana kaum lain bersungguh-sungguh dan sanggup bersatu biar pun berbeza pandangan politik sehingga tidak mustahil akan membentuk kekuatan kaum mereka di negara yang kita cintai Malaysia.
Kebimbangan Puteri UMNO ini juga sangat berkait rapat dengan pendedahan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria bahawa ada parti politik yang telah mewujudkan perlembagaaan baru, Pastinya perlembagaan baru yang menyisihkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan hak-hak orang Melayu itu senada dengan perjuangan parti tertentu yang selama ini memperjuangkan prinsip kesamarataan.
Jika kesemua perkembangan terbaru ini masih gagal membuka minda orang Melayu untuk bersatu hati, Pergerakan Puteri UMNO percaya usaha untuk menggugat kedudukan agama dan bangsa kita akan digerakkan dengan agresif dan tanpa segan silu lagi.