80 OKU Terima Sumbangan
Posted by Admin on 31 August 2010 | 0 Comments
MARAN 30 Ogos - Seramai 80 orang anak yatim, orang kurang upaya (OKU) dan fakir miskin sekitar daerah ini bakal meraikan hari raya Aidilfitri dengan penuh ceria apabila menerima sumbangan daripada Puteri UMNO menerusi program Jelajah Ramadan di daerah ini.
Program yang dianjurkan oleh Biro Agama dan Pembangunan Sosial Puteri UMNO Pahang itu turut dihadiri oleh ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abd. Rashid Shirlin.
Ketua Puteri Pahang, Siti Asmanizah Adnan berkata, beliau berbangga kerana program yang pertama kali dianjurkan itu memilih Pahang sebagai destinasi pertama pelaksanaannya.
Menurut beliau, selain bantuan kewangan dan hamper kepada golongan terbabit, seramai 150 ahli Puteri UMNO dari seluruh negeri mengadakan majlis tadarus al-Quran di Masjid Al-Ehsan di sini.
"Program itu membuktikan ia mendapat perhatian sayap parti tersebut di samping aktiviti politik dan kemasyarakatan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Hadir sama Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib; Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Sentol, Datuk Shahaniza Shamsuddin dan Ketua Puteri UMNO Maran, Norhidayah Mohd. Shahaimi.
Dalam pada itu, Norhidayah berkata, pihaknya terharu apabila daerah ini menjadi lokasi pertama untuk menjayakan program yang bertaraf nasional itu.
Menurutnya, kehadiran Ketua Puteri merasmikan program tersebut membawa keceriaan kepada ahli Puteri di peringkat akar umbi yang sangat komited terhadap perjuangan memartabatkan parti.
Selain itu, katanya, Timbalan Menteri Kesihatan itu berikrar untuk menyokong membina sebuah hospital di bandar ini dan sebuah klinik desa di Kampung Sentosa dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RKM-10).
Sementara itu seorang penerima bantuan OKU, Salmiah Abu Bakar, 56, terharu dan berterima kasih kepada Puteri UMNO kerana menyampaikan sumbangan itu sebagai persiapan menjelang Aidilfitri.
Katanya, keprihatinan Ketua Puteri UMNO yang turun padang membuktikan beliau seorang pemimpin yang berjiwa rakyat tanpa mengira status dan kedudukan.
Sumber dari utusan.com.my